Isu Panas

Hudud: Beri penjelasan dulu sebelum laksana

hudud

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad meminta kerajaan Pas Kelantan melantik kalangan bijak pandai dan ilmuwan Islam mengenai hukum hudud untuk turut memberi penerangan serta penjelasan kepada masyarakat semua kaum.

Ini kerana, katanya, masih ramai masyarakat termasuk yang beragama Islam tidak tahu secara menyeluruh bagaimana Enakmen Undang-undang Jenayah Syarikah Kelantan II akan dilaksanakan sebaik sahaja kajian dan penelitian mengenainya selesai.

Kata beliau, hukum hudud adalah hak Allah yang jelas terkandung dalam al-Quran, oleh itu tidak ada siapa pun dalam kalangan umat Islam boleh membantah, apatah lagi mempertikaikannya.

“Sementelah kalau kita menghalangnya daripada dilaksanakan untuk menjamin keselamatan negeri dan diri seseorang, kita termasuk dalam golongan yang zalim,” katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu.

Sehubungan itu, menurut Daud, penerangan dan penjelasan mengenai hukum hudud perlu diperkasakan di Kelantan terlebih dahulu supaya masyarakat negeri itu lebih faham mengenainya.

Bagaimanapun, beliau mengakui banyak masalah yang akan dan sedang dihadapi oleh kerajaan negeri bagi menjayakan hukuman jenayah syariah itu kerana ada beberapa terma yang perlu dikaji semula.

“Tekad kita kuat untuk melaksanakan hukum hudud kerana kita berpegang dan bergantung bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia, yang mana mengikut perlembagaan negara, setiap agama bebas melakukan tuntutan agama masing-masing.

“Bagi umat Islam, tuntutan agama adalah hukum hudud. Jika hukuman ini dilaksanakan ia adalah salah satu rukun iman itu sendiri iaitu percaya kepada al-Quran. Hudud ada disebut dalam kita suci kita,” katanya.

Daud berkata, agama lain tidak berhak menghalang apa yang agama Islam suruh, malah ini adalah hak asasi penganut beragama Islam dalam mengabdikan diri mereka kepada Allah.

-malaysiagazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");