Membawang Hari Ini

KD belajar nyanyi di kampung

kd

Apabila bercakap mengenai sambutan Minggu Setiausaha yang diraikan sepanjang April, dia antara penghibur dari Indonesia yang sering menjadi pilihan penganjur selain nama-nama besar seperti Rossa dan Hetty Koes Endang.

Namun sudah agak lama penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Menghitung Hari ini tidak berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menjayakan acara berkenaan.

Sejak menikahi Raul Lemos, seorang pengusaha asal Timor Leste pada 2009, Krisdayanti atau lebih dikenali sebagai KD, berehat seketika dari arena hiburan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga terutama dua cahaya matanya, Ariannha Amora Lemos, 2, dan Kellen Alexander Lemos yang berusia satu setengah tahun.

Sebagaimana diketahui umum, KD sebelum ini pernah berkahwin dengan komposer terkenal Indonesia, Anang Hermansyah pada 1996 dan dikurniakan dua anak iaitu Tatiana Aurelie, 16 dan Azriel Akbar Hermansyah, 14. Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada tahun yang sama KD menikahi Raul.

Namun kecintaannya terhadap muzik tidak pernah padam. Saat meluncurkan album kompilasi Persembahan Lagu Cinta yang memuatkan dua ‘single’ terbaru, Ratu Cinta dan Bertubi-Tubi, KD kembali mengatur langkah.

Kunjungannya ke Kuala Lumpur bagi melunaskan majlis pelancaran album kompilasi itu sekali gus menjayakan persembahan Minggu Setiausaha Krisdayanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Khamis lalu, ternyata mengubati rindu peminat-peminat setianya.

Muncul di pentas kurang 10 minit jam 10 malam, Kris membuka tirai persembahan dengan lagu Inggeris dipopularkan Adele iaitu Rumour Has It dan Someone Like You. ‘Mash-up’ yang dilakukan untuk kedua-dua lagu ini menghasilkan muzik yang sangat menarik.

Penyanyi kelahiran 24 Mac 1975 di Batu Jawa Timur, Indonesia, itu seterusnya menyampaikan lagu hitnya seperti Pilihlah Aku, Mencintaimu dan Cinta.

Bagaikan satu paduan yang hebat berlaku di atas pentas apabila KD mengundang teman baiknya, Datuk Siti menyampaikan lagu duet mereka, Jika Kau Tak Datang.

Persembahan malam itu dihangatkan lagi dengan seleksi lagu cinta seperti, Hati Ini Telah Dilukai yang menyaksikan paduan suara dia dengan penyanyi Singapura, Awi Rafael. Populariti lagu yang diterbitkan awal tahun 2000 itu menampilkan Ajai sebagai penyanyi asalnya.

Meneruskan lagi persembahannya dengan sebuah lagu berentak tradisional iaitu Zapin Ya Salam, persembahan vokal KD ada ketikanya tidak begitu baik seakan sedang mengalami sakit tekak.

“Ramai yang tidak tahu, sebelum dikenali sebagai penyanyi pop, saya dulu belajar menyanyi di kampung dengan mendengar lagu-lagu tradisional. Jadi pada malam ini, saya mahu mempersembahkan sebuah lagu kegemaran saya iaitu Zapin Ya Salam,” katanya.

Daripada irama zapin, KD kembali membuai perasaan penonton apabila mendendangkan lagu Aku Wanita Biasa diikuti medley Diamond, Just Give The Reason dan Wrecking Ball, Menghitung Hari dan ‘single’ terbarunya, Bertubi Tubi menyusul selepas itu.

Daripada rentak perlahan, KD membikin getaran adrenalin penonton dengan menyampaikan lagu dangdut Penasaran yang dipopularkan oleh Rhoma Irama.

Sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Ratu Cinta, KD turut menerima kejutan apabila dianugerahkan ‘The Brand Laureate International Brand Personality Award’ oleh pihak penganjur.

Terdahulu, sebelum kemunculan Kris di pentas, Awi Rafael menghiburkan penonton dengan lagu Asalkan Aku Ok, Pulanglah, Bila Aku Jatuh Cinta, Better Man dan Kalau Aku Kaya.

Persembahan yang bermula jam 9 malam dan dihadiri lebih 500 penonton itu turut diserikan lagi dengan persembahan daripada pelawak solo Kuah Jenhan .

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");