Membawang Hari Ini

Amar Asyraf: Terbawa-bawa lakonan teater

amar

Siri terakhir Jejak Bintang Amar Asyraf kali ini mendekati pe­ngarah berkaliber Michael Ang yang menjadi antara individu penting memperkenalkan jejaka ini ke dunia lakonan.

Tidak dinafikan, keba­nyakan tawaran awal untuk Amar datangnya daripada Michael, termasuklah drama popular seperti Dalam Hati Ada Taman, Duri Di Hati dan Jeritan Batinku.

Berkongsi cerita sewaktu mula mengenali Amar, Michael berkata, dia sebenarnya main‚ tangkap muat‘ saja sewaktu mengambil Amar berlakon dalam telemovie arahannya berjudul Getaran Jiwa.

Disebabkan sangat memerlukan pelakon demi mengisi kekosongan itu, dia tidak berfikir panjang sewaktu rakannya memperkenalkan Amar.

“Rakan saya yang beriya-iya mencadangkan supaya saya mengambil Amar memandangkan dia pun ada pengalaman sebagai pelakon teater selain penampilannya berambut panjang ketika itu bertepatan dengan watak diperlukan sebagai anggota band.

“Tanpa mengetahui bagaimana kemampuan sebenarnya, awal-awal memang dia kelihatan agak kekok juga dan terbawa-bawa cara lakonan teater, namun kesungguhannya cukup terserlah.

“Paling saya sukakan mengenai Amar adalah dia jenis yang sangat mendengar cakap dan sentiasa mahu belajar. Kalau ada perkara yang dia tidak pasti, dia tak malu bertanya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Amar terutamanya apabila berada di set penggambaran, menurut Michael pelakon terbabit juga kadang-kadang boleh melakukan sesuatu yang di luar jangkaan orang lain.

Bukan sesuatu yang teruk tetapi pada pengakhiran tindakannya itu hanya akan menjadi bahan gelak orang lain namun Amar tidak pernah terasa jauh sekali mahu sentap.

“Kadang-kadang saya pun tak faham sebab Amar ini fikirannya boleh menerawang secara tiba-tiba sewaktu penggambaran menyebabkan saya terpaksa menengking dia. Bukan marah, tapi apa yang dilakukannya itu kami tidak faham. Apabila ditanyakan kepadanya dia sendiri pun tidak faham!

“Disebabkan perkara-perkara macam itulah yang akan membuatkan kami selalu mentertawakan dia, namun dia bukan jenis yang mengambil serius dan tidak pernah kecil hati,” katanya.

Sempat berkongsi mengenai kisah lucu sewaktu membawa Amar ke Paris, Perancis untuk menjayakan drama Dalam Hati Ada Teman, dia menyifatkan pelakon itu sebenarnya seorang yang lurus bendul juga.

“Bayangkan, dia kena melakonkan watak orang kaya dan sewaktu disuruh menunjukkan baju yang dibawanya, tergelak besar saya kerana pakaian dibawanya memang tidak bersesuaian dengan watak itu.

“Saya mengambil keputusan untuk menyuruh pasukan ‘wardrobe’ menemani Amar pergi membeli-belah pada masa itu juga mencari pakaian yang bersesuaian untuk watak berkenaan.

“Pernah juga dia terlepas cakap insiden malang yang menimpanya apabila dia diambil kesempatan sesetengah pihak dan tidak diberi bayaran yang sepatutnya atas khidmat lakonannya. Sedih saya mendengar, namun saya nasihatkan dia agar bertindak menuntut hak dia,” katanya.

Apapun, paling Michael tersentuh dengan keperibadian pelakon itu adalah dia seorang yang cukup mengambil berat terhadap keluarganya. Pantang ada berita merisaukan terutama menyentuh bab keluarga, dialah yang paling gelisah.

“Masih ingat lagi sewaktu saya membawanya sekali menghadiri sebuah acara anugerah bersama Marsha Milan dan sewaktu acara sedang berlangsung, dia mendapat panggilan mengenai adiknya terbabit kemalangan.

“Sebenarnya hanya kemalangan kecil saja, namun Amar memang tidak boleh duduk diam dan meminta kebenaran untuk segera meninggalkan acara itu bagi melawat adiknya,” kata Micheal mengakhiri cerita.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");