Jenayah

Pelajar ponteng di air terjun

ponteng

PASIR PUTEH – Seramai 24 pelajar termasuk tiga remaja perempuan ditangkap dalam Operasi Bersepadu Ponteng Sekolah 2014 (Ops Ponteng) diketuai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh di sini, kelmarin.

Operasi dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu bertumpu di tiga kawasan perkelahan air terjun iaitu di Jeram Mengaji, Jeram Linang dan Jeram Pasu.

Pegawai Pendidikan Daerah, Ismail Ghazali berkata, operasi itu membabitkan 87 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan
(AADK), Pejabat Agama Jajahan, Pejabat Kesihatan Daerah, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Katanya, mereka yang ditahan adalah empat pelajar tingkatan tiga, 19 pelajar tingkatan empat, seorang pelajar tingkatan lima dan daripada jumlah tersebut, hanya seorang pelajar dari daerah ini.

“Kita juga menahan 15 motosikal yang digunakan pelajar untuk ponteng di kawasan air terjun. Semua pelajar dibawa ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk sesi kaunseling dan menjalani ujian saringan air kencing,” katanya.

Ismail berkata, pihak pengurusan sekolah pelajar yang ditangkap turut dimaklumkan untuk menghantar guru disiplin bagi membawa pulang pelajar ke sekolah masing-masing sebaik sahaja selesai sesi kaunseling.

Katanya, ujian air kencing adalah prosedur biasa operasi membabitkan pelajar ponteng bagi mengesan kemungkinan penglibatan mereka dalam kes penagihan dadah.

Manakala ibu bapa pelajar dalam daerah ini katanya, dihubungi untuk mendapat penjelasan dan mengikuti kaunseling bersama anak mereka.

“Ponteng sekolah merupakan masalah berterusan dan memberi impak negatif, justeru kita mesti membendungnya supaya ia tidak menjadi lebih serius dan menyebabkan suasana sekolah tidak kondusif,’ katanya.

Menurutnya, operasi itu turut membantu pihaknya mengenal pasti punca pelajar ponteng dan meningkatkan kesedaran mereka untuk berada di sekolah semasa sesi pembelajaran berlangsung.

“Kita tidak mahu ponteng menjadi amalan biasa pelajar kerana kegiatan ini mendorong mereka terlibat dalam salah laku sosial lain yang lebih serius,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");