Membawang Hari Ini

Jamal mahu bersara

jamal abdillah

Sukar meninggalkan bidang yang sudah menjadi darah daging sejak 30 tahun lalu. Namun, terdetik dalam hati Datuk Jamal Abdillah untuk mengundurkan diri daripada industri seni suara apabila usia mencecah 60 tahun.

Walaupun berat untuk mengambil keputusan itu, namun letih memikirkan soal konsep, persembahan dan persalinan yang harus digayakan setiap kali muncul di pentas, membuatkan penyanyi yang digelar Raja Pop ini mempertimbangkan hasrat mengundur diri.
Mula memperlahankan persembahan untuk majlis korporat, Jamal menganggap itu sebagai langkah permulaan meninggalkan bidang seni ketika usianya sudah 54 tahun.

Belum membuat keputusan muktamad, tindakan mengumumkan persaraannya kepada peminat pada majlis Minggu Setiausaha Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, kelmarin, mengejutkan khalayak.

“Saya mengambil keputusan ini beberapa minggu lalu selepas letih memikirkan soal persembahan. Saya suka hiburkan hati orang, tetapi, hidup saya sendiri tidak dihiburkan. Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya bersara dalam tempoh lima atau enam tahun lagi.

“Tetapi, ini bukanlah keputusan muktamad kerana saya perlu melihat dan mendengar pendapat peminat. Jika mereka rasa saya masih perlu berada dalam industri, saya akan teruskan. Tetapi saya tidak akan mengadakan persembahan sekerap dulu dan akan memfokuskan kepada album,” katanya.

Osama sambung legasi
Bertuah kerana anak sulungnya, Osama Yamani, 13, mahu mengikut jejak langkahnya menjadi penghibur, penyanyi yang popular dengan lagu Takdir Penentu Segalanya ini mula membawa Osama bersama membuat persembahan, sejak tiga bulan lalu.

Memberi pendedahan awal kepada anaknya mengenai dunia seni, ia dianggap peluang kepada Osama menonjolkan diri sebelum lebih serius. Tidak menghalang hasrat anaknya membabitkan diri dalam bidang nyanyian, Jamal juga mahu melihat anaknya menjadi seperti Datuk Ramli MS.

“Keputusan saya untuk bersara ini tiada kaitan dengan desakan daripada sesiapa mahupun sudah ada pengganti. Semuanya atas kehendak sendiri. Saya tidak melatih Osama 100 peratus sebagai penyanyi. Sebaliknya, saya memberi tip macam mana menjadi penyanyi yang hebat.

“Saya tidak mahu Osama sekadar menjadi penyanyi saja. Tetapi, menjadi pengarah muzik seperti Datuk Ramli MS. Itu impian saya sejak dulu. Lagipun, Osama mahir bermain gitar sejak bersekolah di Tahun Empat,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");