Membawang Hari Ini

Hafiz tenang dihambat tuduhan

hafiz 1

Ketika Yuna dan Shi­la Amzah makin selesa mencipta nama mereka di pentas antarabangsa, Hafiz Suip pula terus cemerlang menjadi penghibur diminati ramai di negara ini de­ngan tawaran persembahan yang semakin melimpah.

Menganggap apa yang dilakukan sebagai pengorbanannya untuk memiliki masa depan lebih terjamin bersama keluarga apabila sudah berumah tangga nanti, Hafiz akui mulai sekarang dia memang perlu bekerja keras.

Apatah lagi, rezeki datang silih berganti tanpa diduga membuatkan Hafiz akur dengan tuntutan kariernya sebagai penyanyi popular dan menjadi perhatian masyarakat.

Sayangnya, dia kini dihambat pelbagai tuduhan antaranya dikatakan menggunakan khidmat bomoh dan mengamal ilmu hitam selain dikatakan mengambil dadah.

Meskipun berfikiran positif dan terbuka menerima apa saja tuduhan negatif yang dilemparkan kepadanya, Hafiz berkata, sehingga kini dia masih berpegang teguh pada agama dan tahu soal dosa pahala.

“Segala tuduhan dan dakwaan tak berasas dilemparkan kepada saya diterima dengan reda. Pada saya, biasalah bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Apa yang pasti, saya sangat bersyukur dengan rezeki Tuhan ini.

“Setiap rezeki ini adalah berkat doa daripada ibu bapa saya. Jadi, biar apa orang hendak kata kerana yang jelas saya memang tidak pernah menggunakan khidmat bomoh apa lagi ilmu hitam,” katanya.

Hafiz, 24, berkata, dia masih waras serta tahu menggunakan khidmat bomoh dan ilmu hitam itu adalah amalan syirik dan berdosa besar.

Katanya, sebagai anak sudah pasti dia perlu memberikan rezeki halal kepada ibu bapanya.

“Saya memang pernah dengar tuduhan menggunakan khidmat bomoh dan ilmu hitam yang dilemparkan kepada saya ini. Bahkan, bukan itu saja saya juga didakwa mengambil dadah kerana berat badan yang makin susut.

“Saya kurus kerana amalkan diet yang sihat. Saya tidak pernah me­ngambil barangan terlarang (dadah) itu kerana cukup memahami risiko yang perlu ditanggung. Jadi, kenapa saya perlu musnahkan diri.

“Rasanya hingga kini saya tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan pada diri. Lagi pun, daripada apa yang saya tahu sesiapa yang mengambil barangan terlarang itu mereka akan lebih suka menyendiri,” katanya.

Menurut Hafiz, ia jelas sekali berlainan de­ngan perwatakan dirinya yang suka ketawa, ceria dan mudah mesra itu. Kata anak jati Sarawak ini, kejayaan diraihnya sekarang adalah di atas restu dan doa ibu bapa.


Teruja peminat terhibur

Menjayakan persembahan sempena majlis minggu setiausaha buat kali pertama sepanjang lima tahun mencipta nama sebagai penyanyi terkenal, Hafiz akui ia memori sangat indah dan dia teruja tetamu yang hadir terhibur.

Apatah lagi, persembahan bertemakan ‘A Golden Moment With Hafiz’ di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta, Kuala Lumpur petang kelmarin itu diakui cukup memberi ruang untuk artis sepertinya lebih dekat dengan peminat.

“Pada mulanya saya bimbang juga jika persembahan ini kurang mendapat sambutan. Namun, tak sangka pula ramai tetamu. Jadi, saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada peminat yang hadir.

“Tak sangka mereka sanggup membeli harga tiket persembahan yang mahal demi memberikan sokongan kepada saya. Meskipun saya tidak puas kerana hanya dapat menyanyikan enam lagu, namun yang seronoknya tetamu terhibur.

“Saya sangat berharap mereka (tetamu) berpuas hati dengan rangkaian pemilihan lagu dipersembahkan. Selain itu, saya juga berterima kasih kepada Adira dan Afdlin Shauki kerana bersama-masa saya dalam persembahan ini,” katanya.

Menurut Hafiz, dia yakin takkan dapat melakukan persembahan itu seorang diri tanpa pembabitan Adira dan Afdlin. Pada majlis itu juga, buat julung kalinya Hafiz menyanyi sambil bermain alat muzik di atas pentas.

Katanya, dia yang tidak pernah mengikuti kelas bermain alat muzik sebelum ini mengambil inisiatif berlatih menerusi YouTube.

Hafiz berkata, walaupun percubaannya bermain piano itu belum terbaik, namun tetamu suka.

“Melihat tetamu yang dihiburkan gembira, saya sangat berpuas hati. Jujur saya akui, menjayakan persembahan ini sudah membuatkan saya berasa diri mencapai tahap sebagai seorang penghibur. Ia bukan perkara mudah.

“Apapun, saya suka dan teruja. Bahkan, ia menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk terus memberikan persembahan terbaik kepada peminat,” katanya.

Pada persembahan itu, Hafiz menghiburkan 400 orang tetamu dengan mendendangkan lagu seperti Awan Nano, All Of Me, Bahagiamu Deritaku dan dua lagu duet bersama Adira iaitu Ombak Rindu serta Muara Hati. Manakala, Afdlin pula pengacara majlis.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");