Isu Panas

Hudud : Pas Hanya Mahu Mencari “Kambing Hitam” – Dr Puad Zarkashi

hudud
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Puad Zarkashi berpendapat Pas tidak bersungguh untuk melaksanakan hudud dan hanya sekadar mencari alasan untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam berkenaan dengan cara mengkambing hitamkan pihak tertentu termasuk sekutu mereka sendiri iaitu DAP dan PKR.

Menurut beliau, sekiranya Pas benar-benar mahu melaksanakan hudud, mengapa ketika pertama kali mereka menbentangkan draf hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) pada tahun 1993, tidak mereka laksanakan selepas ianya diluluskan dengan sokongan semua ADUN Kelantan termasuk di kalangan UMNO.

“Bagi saya, Pas mahu bawa isu hudud ini ke Parlimen secara berseorangan sebagai satu cubaan untuk mempotretkan diri mereka bahawa Pas seolah-olah benar-benar mahu melaksanakan hudud. Sedangkan mereka sedar dan tahu bahawa pastinya DAP dan PKR tidak akan bersetuju dengan hasrat mereka itu.

“Dan sekiranya mereka gagal, maka mereka akan menuduh pihak lain yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan undang-undang jenayah Islam itu. Pihak lain itu mungkin boleh jadi sekutu mereka sendiri, DAP dan PKR, atau pun speaker sekiranya usul itu ditolak.

“Isu hudud ini timbul semula hanya kerana Pas menerima tekanan dan desakan di kalangan ahli dan penyokong yang mendesak parti tersebut untuk melaksanakan hukum hudud ini. Apa yang mereka lakukan ini adalah hanya untuk melepaskan tengkuk mereka daripada dipersalahkan dengan menuding jari kepada pihak lain sebagai penghalang kepada usaha mereka itu,” demikian jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, Pas sebenarnya sudah mampu untuk melaksanakan hudud di Kelantan namun hukum tersebut tidak dilaksanakan adalah kerana kepimpinan Pas sendiri tidak faham tentang perlembagaan Malaysia.

“Saya memetik kata-kata Prof Dr Abdul Aziz Bari, seorang pakar di kalangan mereka sendiri yang berkata kerajaan Pas Kelantan sebenarnya sedang berusaha mencari jalan untuk tidak melaksanakan hudud walaupun Enakmen Kanun Jenayah Syariah telah diluluskan sejak 21 tahun lalu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Sedangkan pada waktu pertama kali pembentangan draf hudud di DUN Kelantan, ianya mendapat sokongan semua termasuk ADUN di kalangan UMNO yang tidak membantah namun sehingga ke hari ini, Pas gagal untuk melaksanakan hudud di negeri bawah pentadbiran mereka.

“Kata Aziz Bari lagi dalam kenyataannya, untuk apa draf tersebut di bawa ke DUN Kelantan untuk diluluskan pada 21 tahun yang lalu sekiranya ia tidak boleh dilaksanakan. Bahkan kata beliau lagi, pusat tidak boleh campur dalam isu ini kerana kuasa untuk melaksanakan undang-undang Islam tersebut terletak di bawah kuasa negeri,” soalnya tegas.

Justeru itu, sekali lagi Puad menegaskan bahawa isu hudud ini dikitar semula oleh Pas adalah semata-mata untuk melarikan diri daripada desakan ahli dan penyokong mereka yang mahukan undang-undang jenayah syariah itu dilaksanakan di negeri tersebut.

“Dalam isu ini, Pas akan mencari kambing hitam untuk memindahkan kelemahan dan kesalahan mereka itu. Boleh jadi kambing hitam Pas itu adalah perlembagaan Malaysia, speaker sekiranya usul itu ditolak, mahupun sekutu mereka sendiri DAP dan PKR,” akhiri beliau.

-MediaUMNO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");