Kolumnis

Krisis Politik Terengganu Boleh Dielakkan Jika Kesetiaan Diutamakan

ganoKETIKA berucap merasmikan Rumah UMNO Taiping pada tanggal 8 Mei lalu, Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan mengenai peri pentingnya kesetiaan ahli dan pemimpin kepada parti itu untuk terus kekal relevan seiring dengan peredaran zaman.

Kesetiaan kepada parti juga katanya, haruslah mengatasi kepentingan peribadi semata-mata demi memastikan parti keramat orang Melayu yang sudah 68 tahun usia penubuhannya itu dihormati oleh pihak kawan dan lawan.

Jika kesetiaan itu dijadikan kayu pengukur kepada jatuh bangunnya sesebuah parti politik termasuklah UMNO, maka tindakan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang bertindak keluar parti dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas sudah pastinya memberi impak negatif kepada perpaduan ahli bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di seluruh negara secara keseluruhannya.

Didakwa merajuk dek kerana pelantikan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar yang baharu, Ahmad Said yang juga ADUN Kijal nekad membuat keputusan itu bersama dua lagi wakil rakyat daripada UMNO iaitu ADUN Ajil dan ADUN Bukit Besi.

Tindakan mereka yang dilihat terburu-buru itu menyebabkan rakyat bangun menyuarakan bantahan dan protes di atas pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan kepada wakil rakyat terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Kononnya disebabkan hanya kerana jawatan, kepercayaan rakyat sanggup dinodai sedangkan tanpa sokongan dan undi rakyat, mereka tidak akan bergelar Menteri Besar atau wakil rakyat.

Ramai pihak menyifatkan tindakan Ahmad Said keluar daripada UMNO kerana ditamatkan jawatan sebagai Menteri Besar adalah pengkhianat termasuklah Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ahmad Said tidak sepatutnya berbuat demikian jika beliau benar-benar sayangkan kepada perjuangan UMNO yang selama ini telah banyak berjasa kepada beliau, tambahnya.

“Takkan kerana tidak diberikan jawatan menteri besar, ambil sikap khianat kepada parti dengan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat bebas,” tegasnya dalam blog beliau.

Tambah beliau, tindakan tersebut juga menyerlah sikap sebenar bekas Menteri Besar Terengganu itu.

“Kalau dia benar-benar seorang pejuang UMNO, soal ada jawatan atau tidak bukan perkara penting,” tegasnya.

Katanya lagi, tindakan Ahmad itu membuktikan bahawa beliau lebih mengutamakan agenda peribadi daripada kepentingan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

“Jika bekas Menteri Besar Terengganu itu seorang pemimpin bertanggungjawab, beliau tidak akan berbuat demikian memandangkan senario politik di negeri itu amat membimbangkan,” katanya lagi.

Mengenai alasan Ahmad Said bahawa tindakannya keluar UMNO kerana tidak berpuashati dengan masa pertukaran Menteri Besar yang dibuat beberapa hari sebelum perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini, Syed Ali menjelaskan:

“Sebagai ahli parti, kita kena akur dan berlapang dada dengan apa juga tindakan dan bersedia menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan parti,”.

Beliau bagaimanapun menyifatkan isu perkahwinan anak bekas Menteri Bersar Terengganu itu sebagai agenda peribadi.

“Itu soal peribadi, kenapa nak dikaitkan dengan kedudukan dalam UMNO?,” katanya.

Selepas menggemparkan dunia politik negara, Ahmad Said dilaporkan membuat pusingan U dengan memohon maaf kepada Perdana Menteri berikutan keputusannya keluar daripada UMNO dalam satu pertemuan di Putrajaya, hari ini.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata dalam pertemuan itu, Ahmad Said turut menarik balik surat keluar daripada UMNO, serta perletakan jawatannya dalam parti.

Ahmad Said turut berjanji dengan Najib untuk menyokong penuh pucuk pimpinan negeri diterajui Ahmad Razif, kata Mohd Jidin.

ADUN Ajil, Ghazali Taib, yang sebelum ini mengambil keputusan keluar daripada parti turut memohon maaf kepada Najib dan menarik balik surat itu. Begitu juga dengan ADUN Bukit Besi yang kembali semula ke pangkuan UMNO.

Ahmad Said dan Ghazali masing-masing melahirkan rasa kesal mereka ekoran tindakan secara terburu-buru itu.

Ironinya, walaupun permohonan maaf sudah dikemukakan, krisis politik Terengganu ini akan terus menjadi titik hitam dalam sejarah politik UMNO ibarat pepatah Melayu ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Jika ahli dan pemimpin UMNO tidak mengambil iktibar di sebalik kejadian ini, tidak mustahil suatu hari nanti parti keramat orang Melayu ini bakal terkubur selama-lamanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");