Laporan Eksklusif

121 Jemaah Umrah Kandas Selamat Tiba Di Tanahair

Seramai 121 jemaah umrah yang terkandas di Madinah sejak 1 Jun lalu selamat tiba di tanah air kira-kira jam 6.10 petang tadi.

Ketibaan jemaah yang menggunakan pesawat Flynas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Timbalannya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah jemaah kerana dapat pulang ke Malaysia dalam keadaan selamat hasil bantuan yang dihulurkan oleh biro berkenaan.

Bercakap kepada para jemaah, Abdul Azeez menjelaskan pihaknya tampil menghulurkan bantuan itu tanpa mengira fahaman politik.

Jelasnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengarahkannya untuk menguruskan kepulangan 121 jemaah itu yang mengerjakan umrah dengan pakej RM3,700 seorang yang ditawarkan syarikat beroperasi di Taiping.

“Tawaran pakej umrah di bawah RM4,000 adalah tidak munasabah dan saya berharap kejadian ini akan menjadi iktibar berguna kepada umat Islam yang ingin mengerjakan umrah,” katanya.

Sementara itu, beberapa jemaah umrah yang ditemui melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana dapat pulang ke tanah air dengan selamat.

Jemaah, Abdul Ramesh Abdul Rahim, 60, melahirkan rasa kesal dengan syarikat yang menguruskan pakej umrah terbabit.

“Saya rasa sakit hati kerana syarikat tersebut tidak mengambil peduli hal kami dan langsung tidak menghantar wakil daripada pihak mereka untuk menerangkan hal sebenar,” katanya lagi.

Beliau yang berasal dari Pulau Pinang itu menzahirkan rasa gembira kerana pihak kerajaan begitu prihatin terhadap nasib jemaah yang terkandas di Madinah.

“Saya rasa sangat gembira dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang sudi menolong kami menerusi Biro Kebajikan UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim,” katanya.

Turut bersama beliau menunaikan umrah ialah isteri, adik ipar serta dua orang anak saudaranya.

Beliau juga berharap majikan kepada jemaah yang terkandas akan mempertimbangkan ketidakhadiran pekerja mereka ke tempat kerja selama tempoh tersebut.

“Saya harap agar pihak majikan kepada jemaah tidak mengambil tindakan kepada mereka kerana apa yang berlaku bukan kehendak kita semua,” tambahnya lagi.

Kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Teluk Intan, Muhit Bungok, turut merakamkan penghargaan terhadap kerajaan Malaysia dan Biro Kebajikan UMNO di atas pertolongan yang dihulurkan kedua-dua belah pihak.

“Kejadian jemaah terkandas di Madinah ini akan menjadi teladan yang berguna kepada umat Islam lain supaya berhati-hati apabila ingin mengerjakan umrah dengan tawaran harga yang tidak munasabah.

“Saya redha dengan kejadian ini dan berharap ia tidak menimpa jemaah yang lain pula,” katanya yang menunaikan umrah bersama rakannya.

Disebabkan kejadian itu juga, beliau tegasnya, terpaksa memohon cuti tambahan daripada majikan.

Bagi Yanti Saliza Ibrahim, perasaan rindu untuk menatap wajah tiga anaknya tidak dapat dibendung lagi.

Beliau yang menunaikan umrah bersama suaminya, berkata pengalaman terkandas di Madinah itu cukup berharga buatnya dan umat Islam lain agar lebih berhati-hati apabila ingin menunaikan umrah.

“Saya tidak menjangka kejadian ini akan berlaku kerana syarikat yang menguruskan semua jemaah sudah memaklumkan ada pihak sudi menaja perbelanjaan pulang ke tanah air.

“Malangnya, perkara itu tidak berlaku dan kami terkandas di Madinah dan ketika di sana, kami terpaksa menguruskan diri sendiri.

“Namun, hasil pertolongan Biro Kebajikan UMNO, saya bersama jemaah yang lain dapat pulang ke tanah air hari ini dengan selamat dan sendiri tidak sabar-sabar mahu pulang untuk menemui tiga anak saya,” kata Yanti Saliza yang mengerjakan umrah di bawah seliaan Koperasi Proton.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");