Berita Hari Ini

Penghidap JE alami keliru, celaru fikiran

dr chow

GEORGETOWN –  Simptom awal virus Ensefalitis Jepun (JE) ialah penghidapnya berada dalam keadaan keliru dan celaru selain mengalami demam panas yang berterusan.

Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr Chow Ting Soo berkata, simptom itu boleh membezakan jangkitan JE atau demam denggi berikutan kedua-dua jangkitan itu hampir sama.

Menurutnya, simptom kedua-duanya adalah seperti demam selesema, sejuk badan, letih, loya dan muntah-muntah.

“Tetapi, simptom sakit kepala untuk kedua-dua virus bawaan nyamuk adalah berbeza. Penghidap JE mengalami sakit kepala agak teruk sehingga boleh lupa tarikh, masa dan tempatnya berada dan tahap kesedaran  berkurangan.

“Berbanding penghidap denggi, walaupun mengalami sakit kepala, ia tidak seteruk simptom JE,” katanya, semalam.

Dr Chow berkata, virus JE mempunyai komplikasi berbanding dengan denggi. Penghidapnya  berisiko menghadapi komplikasi teruk seperti sawan, lumpuh dan koma serta kematian akibat virus bawaan nyamuk Culex yang membiak di ladang ternakan babi.

“Komplikasi itu berlaku kerana jangkitan virus berkenaan menyerang sistem saraf pusat seperti otak. Berbanding virus denggi, walaupun penghidap mempunyai serangan sakit kepala, sakit badan dan hati rosak, namun ia boleh sembuh dalam tempoh rawatan selama tujuh hari,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menghindari wabak daripada jangkitan nyamuk dengan memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih.

“Usaha membendung wabak denggi bukan sahaja terletak di bahu kementerian dan jabatan kesihatan, malah setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dengan menjaga kebersihan dalam dan luar premis termasuk rumah.

“Lebih-lebih lagi, hujan beberapa hari di Pulau Pinang selepas cuaca panas bagi tempoh, lama, keadaan seperti ini senang untuk nyamuk membiak. Oleh itu, jangan biar air bertakung dan buang sampah di tempat betul,” katanya.

Sementara itu, sepanjang Jun lalu, HPP mencatatkan bilangan pesakit untuk kes demam yang banyak berbanding bulan lain tahun ini.

Purata bilangan pesakit dimasukkan ke hospital untuk dua minggu lalu agak tinggi.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");