Membawang Hari Ini

Berhijab bukan sekadar tukar imej

ustaz kazim

Kepada penonton Astro Oasis (saluran 106) pasti mereka tidak asing de­ngan program bual bicara agama Kalau Dah Jodoh yang dihoskan penceramah selebriti terkenal, Ustaz Kazim Elias. Pelbagai petua keharmonian rumah tangga dan jalinan hubu­ngan suami isteri dikongsi bersama.

Turut peka dengan perkembangan industri hiburan tanah air terutama apabila semakin ramai artis dan selebriti wanita memilih untuk berhijrah imej kepada menutup aurat sepenuhnya, Ustaz Kazim mengakui dia gembira dengan berita itu.

Bagaimanapun, ustaz berusia 42 tahun yang juga pemilik nama sebenar Mohammad Kazim Elias ini tidak melepaskan peluang menitip nasihat untuk dijadikan renungan golongan artis dan selebriti berhijab. Katanya, selain berhijab sewajarnya mereka juga perlu mendalami ilmu agama.

Ustaz Kazim yang ditemui pada majlis sidang media program terbarunya, Kembara U.K.E di ibu kota, baru-baru ini berkata, harus diingat berhijab bukan sekadar tampil dengan pertukaran imej menutup aurat semata-mata tetapi hendaklah diperkukuh dengan ilmu agama Islam yang cukup.

“Saya tak nafikan apa yang berlaku kepada kebanyakan artis dan selebriti tanah air yang memilih untuk berubah imej ini sebagai satu petanda baik. Bersandarkan status dikenali masyarakat, semestinya mereka menjadi ikon atau inspirasi kepada peminat.

“Memang baguslah melihat situasi yang berlaku ini apabila lebih ramai artis sudah berhijrah ke arah kebaikan. Secara tidak langsung, ia dapat memberikan aura positif kepada peminat.

“Mana tahu, dengan melihat perubahan imej artis diminati, ia dapat mempengaruhi peminat untuk turut sama melakukan perkara baik itu. Cuma, ingin saya ingatkan biarlah perubahan itu disertakan dengan minat mahu mendalami ilmu agama,” katanya.

Menurut Ustaz Kazim lagi, pengetahuan agama perlu seiring dengan perubahan diri kerana lumrah manusia yang tidak sempurna. Justeru, sebelum bercadang mahu jadi ustaz atau ustazah selepas berhijrah imej perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu agama yang cukup.

Bagi memperoleh ilmu agama dicari itu, Ustaz Kazim turut menyarankan supaya artis atau selebriti yang berhijrah lebih fokus pada mempelajarinya daripada guru bertauliah, selain memastikan niat berubah itu ikhlas kerana Allah.

Mengakui dirinya turut menjadi perhatian golongan penggiat seni yang datang secara peribadi atau berkumpulan, Ustaz Kazim berkata memang banyak juga kemusykilan mereka.


Masyarakat disaran terus beri sokongan

Sudah menimba pengalaman hampir lima tahun mendekati golongan artis dan selebriti tempatan menerusi program dikendalikannya, ia menampakkan penerimaan yang baik dan sambutan positif.

Menurut Ustaz Kazim, melihatkan ada individu tertarik ke arah kebaikan maka seharusnya mereka dibantu serta pastikan sokongan padu diterima. Bahkan, diingatkan juga sebagai masyarakat jangan pula mudah menjatuh hukum dan mencari keburukan orang lain.

Sehubungan itu, ujarnya menerusi program Kembara U.K.E. dianjurkan nanti sudah pasti ia memuatkan pengisian dakwah secara santai bersama peminat. Lebih menarik, rakaman turut dibuat dari atas kapal mewah Star Cruise yang akan belayar ke beberapa destinasi menarik seperti Pulau Pinang, Pulau Lang­kawi dan Phuket, Thailand.

“Kembara di atas kapal bersama peminat memang impian saya. Oleh itu, ha­nya rasa syukur mampu dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana akhirnya impian ini dimakbulkan juga.

“Saya merancang pengisian program dimuatkan dalam kembara ini nanti pastinya membabitkan aktiviti keagamaan biasa seperti kuliah Subuh dan Maghrib serta beberapa tazkirah lain seperti ketika matahari terbit dan terbenam.

“Tidak ketinggalan, menerusi aktiviti perjalanan pelayaran yang sudah diatur termasuk perjumpaan istimewa bersama masyarakat Islam di Langkawi dan Thailand,” katanya.

Apa yang pasti, Ustaz Kazim memaklumkan setakat ini sambutan diterimanya untuk aktiviti kembara itu amat memberangsangkan dan setakat ini sudah 600 orang peserta berminat mendaftar diri.

Memandangkan kapasiti yang agak terhad, namun sambutan diterima pula di luar jangkaan membuatkan tempat kosong masih berbaki untuk diisi kira-kira 100 orang saja. Sehubungan itu, Kembara U.K.E. akan bermula dari 24 hingga 27 Ogos depan dan menemui penonton di Astro Oasis.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");