Jenayah

505 kes kesalahan jualan murah diambil tindakan

hassan malek 4

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil tindakan terhadap 505 kes kesalahan jualan murah dengan nilai rampasan sebanyak RM769,856 bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Menterinnya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kesalahan itu termasuklah kegagalan peniaga menghantar notis kepada KPDNKK bagi mendapatkan permit untuk mengadakan jualan murah, penjualan barangan tiruan serta tidak mempamerkan tanda harga.

“Peniaga yang ingin mengadakan jualan murah perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997.

“Di bawah peraturan tersebut, mana-mana peniaga yang mahu mengadakan jualan murah perlu terlebih dahulu menghantar notis kepada KPDNKK dalam masa 14 hari sebelum tarikh tawaran jualan murah diadakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad.

Hasan berkata KPDNKK juga telah menerima sejumlah 5,363 notis jualan murah daripada peniaga di seluruh negara yang ingin mengadakan jualan seumpama itu bagi tempoh Januari hingga Julai.

Katanya, ia meliputi permohonan bagi mengadakan jualan murah di tiga acara utama yang ditetapkan oleh KPDNKK iaitu Jualan Malaysia GP, Karnival Jualan Mega Malaysia dan Jualan Akhir Tahun Malaysia.

Beliau juga berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,854 notis jualan murah bagi menyertai Karnival Jualan Mega yang bermula sejak 28 Jun hingga 1 September ini.

“Jumlah jualan murah yang boleh diadakan dalam tempoh setahun adalah lapan kali iaitu tiga kali ditetapkan oleh kerajaan dan baki lima, atas pilihan peniaga,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Alias berkata, KPDNKK akan menyiasat penglibatan syarikat tempatan dengan sebuah syarikat jualan langsung dikenali sebagai YSLM yang telah disahkan haram dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berkata melalui pemantauan yang dijalankan, pihaknya mendapati YSLM masih lagi bergiat aktif menjalankan aktiviti perniagaan namun cuba dikaburi dengan pembabitan syarikat lain.

Alias berkata KPDNKK tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan mana-mana syarikat yang bekerjasama dengan YSLM.

Selain tidak berdaftar, YSLM juga dipercayai menjalankan perniagaan secara haram di negara ini serta tidak memiliki lesen untuk menjalankan aktiviti jualan langsung.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");