Isu Panas

Mansuh Akta Hasutan cabar keharmonian kaum

Abdul Aziz Rahman

SHAH ALAM – Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir) menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kumpulan penentang pemansuhan Akta Hasutan 1948 tidak memahami tiga rang undang-undang (RUU) baharu yang sedang digubal untuk menggantikannya.

Ahli Majlis Tertinggi Pemikir ,Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, tiga RUU yang dicadangkan, diperhalusi dan didapati tidak membawa manfaat kepada keharmonian negara.

“Saya tak setuju dengan pihak yang berkata kami (kumpulan yang menentang pemansuhan Akta Hasutan 1948) tidak baca RUU itu.

“Sebagai individu yang merangka undang-undang, saya sendiri telah memeriksa dan membaca RUU itu beberapa kali. Kami tolak kerana pada asasnya, RUU itu tidak betul,” katanya.

Menurutnya, antara isu yang timbul dalam RUU baharu itu ialah penghapusan sama sekali seksyen 3(1)(f) dalam Akta Hasutan 1948.

Seksyen itu menyebut perbuatan mempersoalkan empat isu sensitif di dalam Perlembagaan Persekutuan membawa kepada kecenderungan menghasut dan individu terlibat boleh dihukum di bawah seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Empat isu sensitif tersebut ialah kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, bahasa kebangsaan, kewarganegaraan dan kuasa Raja-Raja Melayu.

“Akta Hasutan dipinda (dengan penambahan seksyen 3(1)(f) selepas insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969) supaya perkara ini tidak dipersoalkan termasuk dalam Parlimen,” katanya.

Abdul Aziz yang berkhidmat sebagai penasihat undang-undang di Majlis Gerakan Negara (kini dikenali sebagai Majlis Keselamatan Negara) ialah antara individu bertanggungjawab menulis pindaan tersebut.

Menurutnya, selain itu, isu diskriminasi yang terkandung dalam RUU itu akan menyebabkan kekeliruan dan kekacauan.

Menurutnya, negara mempunyai institusi kehakiman berwibawa untuk menangani isu-isu berkaitan Perlembagaan, manakala isu perpaduan dan keharmonian tidak sepatutnya ditangani melalui cara perundangan semata-mata.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");