Jenayah

Impian sambung belajar punah

pelajar

Kuala Lumpur: Impian tiga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melanjutkan pelajaran terbantut apabila permohonan mereka mengeluarkan wang simpanan pekerja (KWSP) ditolak dan mendakwa tanpa alasan munasabah.

Seorang penuntut terbabit yang mengikuti pengajian Kejuruteraan Petroleum, Amirul Rahim, 30, mendakwa membuat permohonan mengeluarkan wang caruman KWSP bagi membiayai yuran pengajiannya.

Menurutnya, permohonan dibuat pada awal Jun lalu selepas mereka menerima surat sokongan daripada pihak universiti.

“Diploma Eksekutif ini ditawarkan kepada golongan individu yang bekerja dan mahu mengikuti pengajian itu secara separuh masa selama dua tahun.

“Kami sudah memulakan pengajian sejak Februari lalu dengan yuran pendaftaran RM5,000 manakala bakinya RM15,000 dibayar melalui wang KWSP seperti disarankan pihak IPTA,” katanya.

Amirul berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila dua kali permohonannya ditolak pihak KWSP melalui jawapan dikirimkan melalui SMS.

“Saya kemudian merujuk ke ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut di sini, untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung penolakan itu.

“Pegawai KWSP terbabit memberi alasan permohonan itu ditolak berikutan kursus yang saya ambil tidak sesuai dengan pengalaman kerja sebelum ini,” katanya.

Dia bagaimanapun pelik berikutan perkara itu tidak menjadi isu ketika dia menghadiri sesi temu duga bersama pihak IPTA berkenaan.

Katanya, akibat gagal membayar baki yuran itu, dia dan dua rakannya tertekan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

“Apabila saya persoalkan perkara ini, mereka hanya menjawab ia prosedur dan tidak mampu berbuat apa-apa sedangkan permohonan saya mempunyai bukti kukuh dan bukannya daripada IPTA tidak berdaftar.

“Permohonan saya itu disertakan bersama surat tawaran, surat sokongan IPTA dan majikan selain salinan kad pelajar,” katanya.

Menurutnya, tindakan KWSP menyekat hasrat mereka melanjutkan pengajian mungkin menyebabkan mereka menamatkan pengajian akibat masalah kewangan.

Sementara itu pihak KWSP yang dihubungi menjelaskan setiap pencarum yang ingin membuat pengeluaran wang bagi pembayaran yuran pengajian perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan untuk setiap jenis pengeluaran mereka.

Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP Ahmad Fauzi Kamarudin berkata, terdapat dua syarat ditetapkan bagi ahli yang mengikuti pengajian diploma eksekutif atau diploma profesional di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Dua syarat berkenaan adalah mempunyai sekurang-kurangnya tiga kredit dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman bekerja dengan pengesahan majikan yang menyatakan tempoh perkhidmatan dan jawatan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, semakan terhadap tiga penuntut itu mendapati mereka gagal memenuhi syarat pertama ditetapkan.

“Meskipun penama mempunyai pengalaman bekerja tujuh tahun, namun permohonan beliau tidak dapat dipertimbangkan kerana kredit yang diperoleh dalam peperiksaan SPM kurang daripada syarat,” katanya.

Bagaimanapun ahli boleh membuat rayuan sekiranya permohonan kali pertama mereka ditolak. Semakan juga boleh dibuat di kaunter bagi mengetahui maklumat lanjut.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");