Laporan Eksklusif

Tragedi MH17: Malaysia Kemuka Tiga Tuntutan Kepada PBB

Kerajaan Malaysia menuntut pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi MH17 diheret terus ke muka pengadilan jika sekiranya siasatan sah mendapati pesawat yang membawa 298 penumpang itu ditembak sebelum jatuh terhempas di sempadan Rusia-Ukraine, semalam.

Ia merupakan antara tiga tuntutan yang dikemukakan oleh kerajaan Malaysia terhadap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam perutusan khas tragedi MH17 yang disiarkan secara langsung di RTM sebentar tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ketiga-tiga tuntutan itu sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PPB, Ban Ki Moon.

Tuntutan pertama yang dikemukakan kerajaan Malaysia ialah pihak tersebut harus memastikan keselamatan anggota pasukan penyelamat di sepanjang operasi menyelamat terjamin.

Najib berkata, tuntutan kedua pula mendesak pihak terbabit tidak mengganggu dan mencemari bukti di tempat kejadian agar siasatan dapat dilakukan secara telus dan berkesan.

Tegasnya, beliau juga sudah memaklumkan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk memberi kerjasama bagi mencapai hasrat itu.

Sementara itu, kerajaan juga katanya, akan memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang terbabit dalam insiden tidak berperikemanusiaan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, walaupun pesawat itu dipercayai ditembak jatuh, kerajaan Malaysia kata Najib, tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak selagi bukti sahih tidak disahkan.

Tegasnya, kerajaan juga memutuskan bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang di seluruh negara bermula malam ini hingga 21 Julai sebagai menzahirkan rasa sedih dan berdukacita di atas tragedi tersebut.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati mendalam kepada keluarga, sahabat handai dan kenalan yang mengenali mangsa sambil mendoakan mereka agar terus tabah menghadapi dugaan itu.

Najib turut menyuarakan harapan agar umat Islam dapat menunaikan solat hajat pada malam-malam terakhir Ramadhan dan terus berdoa agar Malaysia sentiasa selamat dan dijauhi musibah serta bencana.

Bagi rakyat bukan Islam pula, mereka katanya, boleh melakukan upacara sembahyang mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");