Jenayah

Wanita maut dirempuh kereta

rempuh restoran

PUCHONG – Malang tidak berbau apabila seorang wanita warga emas maut dirempuh kereta dipandu suaminya sendiri di depan sebuah restoran di Puchong Jaya, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa sebelumnya dikatakan memapah suaminya yang dipercayai menghidap strok ke bahagian tempat duduk bahagian pemandu kereta jenis Proton Saga milik mereka.

Kedua-duanya dikatakan baru selesai mendapat rawatan di sebuah pusat kesihatan terletak berhampiran.

Selepas suami duduk di kerusi pemandu, mangsa kemudian berjalan melalui bahagian depan kereta menuju ke tempat duduk penumpang.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Tan berkata, secara tiba-tiba kereta dipandu lelaki tersebut berbunyi kuat dan terus merempuh wanita berkenaan.

Akibat rempuhan, wanita terbabit terperosok di bawah kereta dan diseret beberapa meter.

Kereta tersebut kemudian terus merempuh dua meja makan terdapat dalam restoran dan berhenti selepas melanggar dinding.

“Saya jerit dengan kuat menyebabkan kesemua pelanggan dalam restoran lari bertempiaran bagi mengelak dari dilanggar.

“Wanita berusia lingkungan 70-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi manakala suaminya terus kelihatan trauma,” katanya.

Tan berkata, biasanya dia nampak ada orang membantu lelaki tersebut mengundurkan kereta dari tempat letak kenderaan OKU selepas berkunjung ke sebuah pusat kesihatan.

Namun pada hari berkenaan katanya, lelaki tersebut memandu kereta bersendirian.

“Kejadian berlaku dengan pantas sekali sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi,” katanya.

Ketua Polis Derah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad mengesahkan kejadian.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");