Laporan Eksklusif

Bawa pulang sebelum raya

kotak hitam

Kuala Lumpur: Kerajaan akan berusaha membawa keluar mayat mangsa penerbangan MH17 sebelum Aidilfitri ini untuk dibawa pulang dan disemadikan di tanah air.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia menyatakan pendirian mahu membawa mangsa tragedi itu keluar dari lokasi nahas dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan tidak mahu mayat mangsa diambil pihak tidak bertanggungjawab dan dibawa ke lokasi tidak diketahui.

“Sejak dua malam berturut-turut saya tak tidur malam, hubungi pemimpin dunia serta beberapa pihak lain.

“Kami menyatakan pendirian mahu mangsa ini dibawa keluar dalam masa terdekat serta tidak mahu mayat mangsa dibawa ke tempat tidak diketahui.

“Saya bertekad sebelum Aidilfitri ini, mangsa yang dikenal pasti identiti dibawa pulang ke tanahair untuk disemadikan,” katanya ditemui dalam Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid An Najihin Bandar Sri Permaisuri di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Program yang dihadiri 5,500 orang itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penduduk Wilayah Persekutuan.

Sumbangan wang tunai serta barangan keperluan asas turut diberikan kepada 2,100 orang membabitkan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta golongan memerlukan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan akan melakukan apa saja terutama memastikan pihak bertanggungjawab dalam kejadian itu dikenakan tindakan.

“Pesawat ini dipercayai ditembak jatuh mereka yang tidak bertanggungjawab, tidak berhati perut, tiada belas kasihan dan tiada perikemanusiaan.

“Kerajaan tidak akan membiarkan kejadian ini berlalu tanpa ada sebarang tindakan dan kita hendak tahu siapa yang lakukan perbuatan keji dan zalim ini dan mahu mereka dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau menghubungi pemimpin dunia dan beberapa pihak lain untuk menyatakan pendirian serta mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa untuk bertindak.

Beliau turut menyelar percaturan politik sesetengah negara menyebabkan rakyat negara lain seperti Malaysia menjadi mangsa.

“Inilah akibatnya jika ada konflik. Apa juga bentuk konflik yang tidak boleh diselesaikan dengan rundingan, dengan aman…akhirnya siapa jadi mangsa,” katanya.

Sebelum itu, Najib menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Australia Tony Abbott untuk membincangkan mengenai perkembangan terkini tragedi MH17.

Kedua-dua pemimpin itu yang bercakap kira-kira 15 minit kemudian bersetuju supaya usaha mencari dan membawa balik mayat mangsa daripada kedua-dua negara itu menjadi keutamaan ketika ini.

Sementara itu, Najib turut mengecam tindakan rejim Zionis yang terus melakukan serangan terhadap penduduk Palestin sehingga lebih 300 orang terkorban dan ratusan yang lain cedera.

Katanya, dalam tempoh hampir dua minggu, bumi Palestin dihujani peluru dan bedilan bertubi-tubi sehingga ramai rakyatnya terutama wanita dan kanak-kanak terkorban.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");