Laporan Eksklusif

Perbuatan Tembak Jatuh MH17 Cabuli Undang-Undang Antarabangsa – IATA

tony tyler

KUALA LUMPUR: Perbuatan menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, yang dikenal pasti sebagai sebuah jet komersial, merupakan tindakan yang secara jelas mencabuli undang-undang, standard dan konvensyen antarabangsa, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ketua pengarah dan ketua pegawai eksekutifnya, Tony Tyler berkata, pesawat Boeing 777 itu diletupkan di udara ketika memperkenalkan diri dan memaklumkan kehadirannya di koridor terbuka dan sibuk pada ketinggian yang dikira selamat.

Menurut beliau, kerajaan dan penyedia perkhidmatan pandu arah memaklumkan kepada syarikat penerbangan tentang laluan yang boleh dilalui mereka serta sekatan yang ada, manakala syarikat penerbangan pula akan mematuhi panduan yang diberi itu.

“Itulah yang terjadi kepada MH17,” katanya dalam kenyataan mengenai penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu, yang dipercayai ditembak jatuh oleh misil permukaan bumi ke udara Khamis lepas ketika terbang di ruang udara wilayah Donetsk di timur Ukraine.

Pesawat Malaysia itu membawa 298 penumpang dan anak kapal.

Tyler berkata, segala usaha perlu dilakukan untuk memastikan “pencabulan seperti ini tidak berulang”.

Kerajaan, katanya, perlu menerajui usaha untuk menilai kembali cara risiko ruang udara dilakukan selama ini.

“Dan industri pula akan berusaha sedaya upaya untuk memberi sokongan kepada kerajaan melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dalam tugas rumit yang akan dihadapi itu,” katanya.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");