Jenayah

Kajian gugur hukuman mati pengedar dadah selesai hujung tahun

mahkamah

Kuala Lumpur: Kajian menyeluruh cadangan pengguguran hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah dijangka selesai hujung tahun ini.

Menurut Laporan Penilaian Penggalan Sejagat Malaysia (UPR) kali kedua, Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji undang-undang dan dasar berkaitan permohonan itu.

Hasil dan syor kajian berkenaan kemudian akan dibentangkan kepada kerajaan untuk diperincikan sebelum dimuktamadkan.

Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Dr Khaw Lake Tee, berkata pihaknya menyambut baik perkembangan cadangan berkenaan.

Kita berharap satu keputusan positif dapat dicapai kerana semua manusia berhak untuk meneruskan hidup, katanya pada sesi taklimat UPR bersama media di sini, semalam.

Dalam laporan UPR itu, beberapa negara termasuk Albania dan Ukraine mengesyorkan Malaysia menggugurkan hukuman mati ke atas pengedar dadah.

UPR adalah satu mekanisme Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), di mana rekod hak asasi manusia semua 192 negara anggota dinilai semula setiap empat setengah tahun.
Sementara itu, Lake Tee meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) membantu kerajaan merealisasikan komitmen yang dicadangkan termasuk Pelan Tindakan Susulan UPR SUHAKAM.

Katanya, SUHAKAM akan membantu kerajaan dengan mengadakan beberapa sesi taklimat bertujuan mewujudkan kesedaran pelbagai pihak mulai Julai sehingga bulan depan.

Beliau berkata, Malaysia yang menjalani UPR itu di Geneva, Switzerland, menerima 150 daripada 232 syor oleh 104 negara anggota.

Antara syor diterima sepenuhnya termasuk pembasmian kemiskinan, pendidikan dan akses kepada penjagaan kesihatan dan peningkatan hak wanita serta kesaksamaan gender serta memerangi pemerdagangan manusia, katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");