Jenayah

Ikat tangan pengawal, pecah masuk tiga premis

pecah masuk1

BANTING – Sekumpulan perompak bertindak mengikat tangan tiga pengawal keselamatan sebuah pasar raya sebelum memecah masuk tiga premis di dalamnya di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, perompak berkenaan bertindak mengumpil sebuah kedai pakaian untuk menebuk lubang dinding bagi mengakses ke sebuah kedai menjual barangan kemas yang terletak bersebelahan.

Pengusaha kedai pakaian, Azizah Ibrahim, 31, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan terpaksa bergegas ke pasar raya berkenaan apabila menerima panggilan kedainya dipecah masuk.

Menurutnya, setibanya di lokasi dia mendapati pintu kedainya sudah dibuka dan terdapat sebuah lubang berbentuk empat segi ditebuk.

“Saya tak sangka kedai saya jadi akses laluan untuk suspek merompak. Nasib baik tak ada barang saya yang hilang termasuk wang tunai dalam mesin kira wang.

“Bagaimanapun, terdapat resit bayaran yang tertulis RM190 kira-kira jam 4.45 pagi dipercayai ditekan oleh suspek bertujuan untuk mengeluarkan wang,” katanya.

Azizah ketika ditemui meluahkan rasa bimbang kerana baru empat bulan membuka perniagaan pakaian di situ dan insiden tersebut berlaku di kedainya.

Seorang peniaga cermin mata, Jeff Heng, 30, berkata, dia menganggarkan kerugian kira-kira RM50,000 apabila barangan jualannya termasuk cermin mata berjenama Prada dan Ray Ban hilang selain komputer riba yang digunakan untuk membuat tugasan.

Dalam pada itu, pemilik kedai barangan kemas yang dipecah masuk enggan ditemuramah kerana sedang membuat pemeriksaan barangan yang hilang di kedainya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Mengulas mengenai insiden sebuah mesin ATM yang dipecah oleh sekumpulan warga asing di sebuah pasar raya di Pekan Banting Sabtu lalu, beliau memaklumkan tangkapan telah dilakukan terhadap sekumpulan suspek dan siasatan masih dilakukan.

“Bagaimanapun, polis akan meneruskan siasatan berhubung kedua-dua kes sama ada berkait rapat atau tidak,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");