Berita Hari Ini

Letak Palestin bawah sistem perlindungan PBB

serangan israel

KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong gesaan oleh Negara Palestin untuk meletakkan Palestin di bawah sistem perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berikutan keganasan yang meruncing di Semenanjung Gaza.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Haniff berkata, Malaysia “mengulangi gesaan tentang perlunya mengadakan persidangan Pihak-pihak Berkepentingan Utama kepada Konvensyen Geneva Keempat bagi menangani pencabulan Israel yang berterusan terhadap konvensyen itu.

“Pencerobohan tentera Israel yang kejam ke atas orang awam tidak boleh dibiarkan dan ia merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Justeru, Malaysia menggesa PBB terutama Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menghentikan pembunuhan yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza dan berusaha untuk mewujudkan keamanan antara Israel dan Palestin,” kata beliau.

Hussein berkata demikian pada Mesyuarat Tergempar mengenai Keadaan di Timur Tengah termasuk Soal Palestin pada Majlis Keselamatan PBB di New York pada Selasa. Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama Rabu.

Pada 13 Julai, Presiden Palestin Mahmoud Abbas telah menulis kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, meminta supaya Palestin diletakkan di bawah sistem perlindungan antarabangsa yang ditadbirkan oleh PBB.

Malaysia terus mengutuk dan sekali lagi menggesa supaya diwujudkan gencatan senjata antara Palestin dan Israel kerana keganasan terkini telah mengorbankan  lebih 600 rakyat Palestin sementara lebih 3,500 lagi cedera dan lebih 80,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.

Wakil Malaysia itu berkata serangan dan bedilan ke atas rumah orang awam, hospital dan sekolah, yang bermula pada 8 Julai, adalah satu pencabulan serius terhadap Konvensyen Geneva Keempat yang merupakan jenayah perang.

Hussein yang menegaskan tidak ada mana-mana negara yang harus mengatasi undang-undang, bagaimanapun berkata UNSC masih membisu dan tidak berbuat apa-apa dalam menghadapi pencerobohan, perluasan wilayah oleh Israel dan kurangnya akauntabiliti oleh negara itu.

UNSC harus menebus kegagalannya dan mendukung tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya berhubung dengan kegagalan Israel mematuhi pelbagai resolusi, dan mengambil langkah-langkah untuk menangani ketidakadilan yang teruk ini,” kata beliau.

Beliau mengulangi usaha Malaysia yang berterusan sambil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghubungi Presiden Mahmoud Abbas, dengan menyatakan komitmen Malaysia untuk melakukan apa yang termampu bagi  membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin yang sah.

Beliau berkata, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia telah berlepas ke Gaza untuk menyertai misi kemanusiaan yang menghulurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan dan memberi sokongan psikososial kepada mangsa.

Selain itu, Kementerian Luar telah mengulangi rayuan bagi sumbangan kewangan daripada orang ramai untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Palestin yang ditubuhkan oleh Kementerian sejak 2002. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");