Laporan Eksklusif

Pakar forensik antarabangsa bergabung tenaga

Sebahagian mayat mangsa nahas MH17 Penerbangan Malaysia (MAS) yang sebelum ini ditempatkan di dalam kereta api berhawa dingin di Kharkiv, 300 kilometer dari sini diterbangkan ke Kompleks Pengurusan Mayat di Amsterdam, Belanda malam tadi.

Penerbangan membawa 282 mayat dan 38 bungkusan mengandungi serpihan mayat itu dilakukan dengan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Belanda.

Proses dilakukan berperingkat selepas pemeriksaan rapi dijalankan satu pasukan forensik antarabangsa termasuk Malaysia ke atas semua mayat berkenaan.

Mayat yang dihantar itu ditempatkan di Kompleks Pengurusan Mayat di Utrecht, Amsterdam untuk pengecaman dan proses forensik seterusnya sebelum mayat berkenaan boleh diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengkebumian.

Ketua Delegasi Pasukan Siasatan Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar berkata, pihaknya menjangkakan proses itu mengambil masa, namun berusaha bersama pakar forensik antarabangsa lain untuk mempercepatkan proses mengenal pasti mangsa tanpa menjejaskan kredibiliti, intergriti dan kualiti siasatan.

Katanya, semua proses forensik dan siasatan yang dijalankan mengikut piawaian antarabangsa.

“Semua lebih 100 anggota pasukan Siasatan Khas Malaysia berada di Kharkiv sejak semalam (kelmarin) untuk menjalankan proses forensik bersama pasukan forensik antarabangsa yang lain.

“Pasukan dari Malaysia terdiri daripada Pasukan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Semua mayat berkenaan diserahkan kumpulan bersenjata bersama-sama kotak hitam pesawat itu,” katanya ketika ditemui.

Satu majlis ringkas penyerahan kotak hitam berkenaan diadakan di Donestk, pagi semalam.

Dua kotak hitam itu diserahkan Pasukan Pemberontak pro-Russia kepada pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu siasatan nahas berkenaan.

Khairil Hilmi berkata, satu pasukan membabitkan 10 anggota termasuk seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah dihantar ke Amsterdam untuk menguruskan mayat mangsa pertama yang dihantar itu.

“Pasukan terdiri daripada pakar forensik ini bertugas melakukan siasatan forensik fasa kedua selepas pasukan pertama melakukannya di Kharkiv,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, semua mayat warga Malaysia dibawa pulang ke tanah air untuk dikebumikan.

Namun, ia bergantung kepada berapa cepat proses forensik ke atas mangsa dijalankan.

“Bagi mangsa bukan warga Malaysia, ia diserahkan kepada keluarga atau wakil kerajaan masing-masing,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");