Membawang Hari Ini

Menangis dalam studio

sharipah

Sambutan Aidilfitri pastinya tidak meriah tanpa lagu raya sekali gus menyemarakkan suasana lebaran saban tahun. Pastinya, lagu dendangan artis lama yang menjadi pilihan stesen radio untuk sajian halwa telinga pendengar.

Antara lagu raya kegemaran ramai yang ‘evergreen’ ialah dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee (Dendang Perantau) dan Puan Sri Saloma (Selamat Hari Raya), Hail Amir & Uji Rashid (Seloka Hari Raya), Datuk DJ Dave (Menjelang Hari Raya), Allahyarham Datuk Sharifah Aini (Suasana Hari Raya), Datuk Jamal Abdillah (Assalamualaikum), Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad (Dari Jauh Ku Pohon Maaf), Datuk M Nasir (Satu Hari Di Hari Raya) dan ramai lagi.

Wartawan RAP, Ramlah Zainal ([email protected]) menemubual penyanyi veteran Hail Amir untuk berkongsi pandangan mengenai kehebatan lagu raya dendangan artis lama. Pada masa sama, Hail juga turut berkongsi kenangan ketika merakamkan lagu raya bersama Sharifah Aini ketika hayatnya dulu.

RAP : Lagu Seloka Hari Raya dendangan anda bersama Uji Rashid antara lagu raya wajib diputarkan stesen radio sampai sekarang. Apakah kekuatan lagu duet itu hingga terus bertakhta di hati peminat?

HAIL : Alhamdulillah, lagu duet saya dan Uji iaitu Seloka Hari Raya masih ‘evergreen’ sampai hari ini. Selain lagu itu, ada satu lagu lagu duet kami berjudul Pengertian Hari Raya yang turut menjadi siulan peminat. Sebagai penyanyi, saya melihat kekuatan lagu Seloka Hari Raya kerana iramanya yang ‘catchy, intronya yang ‘live’ serta liriknya mudah difahami golongan kanak-kanak hinggalah dewasa.

RAP : Selain Uji Rashid, anda dikatakan pernah berduet menyanyikan lagu raya dengan Sharifah Aini. Boleh komen lebih lanjut?

HAIL : Saya pernah berduet dengan Sharifah Aini menerusi lagu Suasana Di Pagi Raya ciptaan komposer veteran, Datuk Ahmad Nawab yang dirakamkan di Singapura. Sudah namanya lagu duet, pastinya dia perlu ‘give and take’ dengan saya selaku rakan duetnya untuk menghidupkan lagu raya berkenaan. Namun, arwah tetap berkeras sambil menangis untuk menyampaikan lirik lagu raya itu dengan gaya sebutan Arab ketika di studio rakaman. Akhirnya kehendak beliau dituruti.

RAP : Boleh komen sikit pandangan peribadi anda sepanjang mengenali Sharifah Aini?

HAIL : Arwah lebih ‘senior’ daripada saya dalam bidang nyanyian. Sebagai rakan artis, saya turut meminati suaranya sejak dulu. Sebab itu, saya memang menanti peluang untuk berduet dengan arwah dalam lagu. Sepanjang mengenalinya, Sharifah Aini juga seorang yang sangat tegas dengan pendiriannya terutama jika ia membabitkan soal kerja.


RAP : Ada kenangan yang sukar dilupakan ketika menjayakan konsert dengan Sharifah Aini?

HAIL : Antara kenangan yang sukar dilupakan ialah ketika bagasi Sharifah Aini berwarna merah didapati hilang ketika dalam penerbangan dari Filipina ke Indonesia. Kejadian itu berlaku ketika kami dan rakan artis seperjuangan lain mewakili Malaysia sempena konsert jelajah, Asian Song Festival yang membabitkan negara Asia Tenggara seperti Bangkok, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Saya masih ingat lagi, arwah menangis apabila mendapat tahu bagasinya hilang kerana ia mengandungi baju untuk dipakai ketika persembahan dalam konsert berkenaan. Mujurlah wakil kedutaan Malaysia di Indonesia membantu meminjamkan baju untuk persembahannya. Selepas dua bulan berlalu akhirnya beg arwah yang hilang itu dapat ditemui semula.


RAP : Selepas sekian lama tidak menghasilkan album baru, pastinya anda ada perancangan untuk buat ‘comeback’ dalam bidang seni tanah air ?

HAIL : Sebagai artis lama, saya memang ada perancangan untuk buat ‘comeback’ lagu baru sekali gus mengubat rindu pada peminat setia di luar sana. Saya juga bercadang berduet dengan artis generasi baru sekali gus mengikut cita rasa peminat muzik sekarang.

Bagi saya, kehadiran ramai bakat baru turut merancakkan industri muzik tempatan. Antara komposer tempatan yang saya ingin bekerjasama ialah Datuk Ahmad Nawab dan S Atan. Saya juga tidak kisah untuk buat lagu atau single secara solo ataupun duet dengan artis lain.


RAP : Walaupun kurang publisiti, anda masih sibuk memenuhi undangan per­sembahan sampai sekarang. Sampai bila anda akan terus menyanyi?

HAIL : Insya-Allah, saya akan terus menyanyi selagi kesihatan mengizinkan sekali gus sama-sama memartabatkan industri seni tanah air.

RAP : Apa projek terbaru anda pada tahun ini?

HAIL : Saya baru kembali dari menjayakan persembahan lagu raya di Perth, Australia anjuran Nasional FM, baru-baru ini. Saya me­nyampaikan lagu duet Seloka Hari Raya dengan penyanyi muda tempatan, Siti Nordiana di sana. Kami berlepas ke Perth sebelum Ramadan dan sempat merasai suasana berpuasa di negara kanggaru itu.

Apa yang menarik, kami membuat persembahan di Kedutaan Malaysia di Perth, sekali gus menghiburkan orang Melayu yang sudah menetap puluhan tahun di bumi Perth tetapi masih tidak hilang nilai kemelayuan mereka. Selain itu, kami turut menjayakan satu lagi projek persembahan di sana sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");