Membawang Hari Ini

Enot: ‘Saya teringin nak tunai umrah’

enot 1

HAMPIR dua tahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon, pelakon komedi, Enot mengakui tidak merajuk pada industri sebaliknya hanya berkecil hati.

Kata Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, sepanjang terbabit dalam bidang seni, dia bukanlah seorang pelakon yang bermasalah.

“Saya tidak merajuk tetapi agak kecil hati dan tertanya-tanya mengapa saya tidak diberi sebarang tawaran lakonan. Padahal, saya memberi komitmen sepenuhnya ketika berada di set penggambaran.

“Saya tidak pernah menimbulkan hal yang tidak diingini,” katanya kepada Zass selepas sidang media Program Raya Astro.

Bagaimanapun, Enot turut mengakui hal itu terjadi mungkin kerana kemunculan artis baharu di persada industri hiburan tanah air kini yang boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Dalam tempoh itu, saya hidup dengan menjalankan perniagaan atas talian bagi menjual kek dan biskut,” katanya.

Pun begitu, kata Enot, sejak penderitaannya mengalami kanser usus tahap dua tersebar di dada-dada akhbar, dia mengakui mula menerima banyak tawaran berlakon.

“Sepanjang Ramadan ini, saya kembali ke set penggambaran. Kalau tidak, sunyi saja. Orang pun tidak tahu saya berlakon ke tidak.

“Selepas itu, ada lagi drama lain yang bakal menyusul dan selepas hari raya saya juga akan sibuk di lokasi penggambaran beberapa telefilem.

Alhamdulillah, apabila ada yang tahu saya dalam keadaan begini, ada yang mula memanggil saya untuk berlakon.

“Saya tidak mahu terlalu bergantung pada bantuan yang diberikan kerana saya masih boleh bekerja dan penyakit saya bukanlah satu alasan untuk duduk berdiam diri saja di rumah,” katanya yang akan muncul dalam telefilem raya Ecah Cookies VS Tipah Tailor.

Pada masa sama, Enot menyimpan impian untuk menunaikan umrah bersama anak-anaknya sebelum meninggal dunia.

Malah, akuinya dia kini bekerja keras bagi menyimpan duit sebanyak mungkin sebagai bekalan buat anak-anaknya.

“Saya bekerja bukan lagi untuk saya tetapi untuk anak-anak. Saya nak kumpul duit untuk bekalan mereka bila saya sudah tiada nanti.

“Kalau ada rezeki lebih saya memang teringin hendak menunaikan umrah,” katanya yang melakukan persiapan menyambut Syawal secara sederhana.

Guna cara alternatif

Bercerita tentang penyakitnya, Enot memberitahu sudah enam bulan dia berhenti membuat rawatan susulan di hospital.

Dia sebaliknya lebih selesa menjalani rawatan cara kampung di samping mengambil makanan suplemen yang sudah beberapa hari diamalkannya.

“Saya tidak mahu menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi. Kalau boleh saya mahu makan ubat tradisional ataupun suplemen.

“Lagi pun, ubat hospital ini biasanya akan memberi kesan terhadap buah pinggang,” katanya.

Keengganannya mendapatkan rawatan kimoterapi dan radioterapi menyebabkan dia dimarahi doktor.

Kesannya, dia kini serik untuk berurusan lagi dengan mana-mana doktor menyebabkan terus memberi tumpuan pada rawatan alternatif.

“Saya tidak mahu orang paksa saya untuk melakukan rawatan tersebut. Saya mahu mendengar apa kata hati.

“Apa yang saya lihat, sejak amalkan perubatan kampung dan suplemen, keadaan saya bertambah baik,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");