Isu Panas

PR terima cadangan Wan Azizah MB Selangor

anwar ibrahim 1

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat hari ini menerima cadangan PKR untuk menggantikan Menteri Besar Selangor dan mencalonkan presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pas dan DAP akan membawa perkara itu ke mesyuarat tertinggi parti masing-masing dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Pas dan DAP secara dasarnya menghormati prinsip pencalonan Menteri Besar Selangor adalah daripada Keadilan (PKR),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan  Parlimen, di sini.

Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ditanya kemungkinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, Anwar berkata :”Tak payah buat assumptions (andaian). Kita sedang bincangkan perkara itu dengan baik”.

Mengulas mengenai peranan yang akan dimainkan beliau selepas ini, Anwar berkata, beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi kepada kerajaan Selangor.

“Saya Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia (dan) saya tak fikir saya akan berperanan sekiranya (Dr Wan) Azizah jadi menteri besar,” katanya.

Anwar turut memberi alasan Dr Wan Azizah yang merupakan isterinya layak menjadi Menteri Besar Selangor berikutan kedudukan beliau sebagai presiden PKR.

“Dah diputuskan, kita dah bincang…alasan-alasan dah diberi. Konsensusnya  (Dr Wan Azizah) presiden parti, ramai lagi calon yang layak. Azmin (Ali) ialah seorang daripada calon yang amat layak tapi konsensus parti adalah mencadangkan (Dr Wan) Azizah,” katanya.

Pada Isnin, PKR mencapai kata sepakat untuk memilih Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");