Berita Hari Ini

‘Pakar’ ambil kesempatan tragedi MH17 ditempelak

ka siong 1

KUALA LUMPUR – Tindakan “pakar-pakar tidak bertauliah” mengeluarkan pelbagai kenyataan dan teori susulan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, ditempelak seorang anggota Parlimen yang menyifatkan mereka hanya mengambil kesempatan atas kejadian berkenaan.

Datuk Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata berbeza dengan reaksi warga Belanda, antara negara yang turut terkesan dalam tragedi itu, ada rakyat Malaysia begitu mudah menuding jari dan menyalahkan kerajaan dalam isu yang belum tentu hujung pangkalnya.

“Kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu dalam menghadapi waktu-waktu sukar seperti ini. Kalau dilihat kenyataan-kenyataan termasuk di laman sosial, seolah-olah warga Malaysia ini menyalahkan  kerajaan,” katanya.

Ka Siong berkata demikian ketika membahaskan usul tragedi pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine, Khamis lepas, yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Ka Siong turut menempelak satu kenyataan dalam laman sosial sebelum ini yang membayangkan seolah-olah Malaysia sebuah negara “menggerunkan” dan “tidak berguna” susulan kejadian itu.

“Kenyataan seperti ini tidak patut dikeluarkan. Kalau rakyat biasa kita boleh maaf, tapi ini (diluahkan) anggota keluarga kepada rakan kita di dalam dewan ini,” katanya.

Persidangan dewan seterusnya gamat apabila ‘jentikan’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terkena Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak wajar di laman Twitter berkaitan usaha mendapatkan kotak hitam pesawat MH17.

Dakwaan itu dibantah keras Mohd Rafizi yang mendesak Wee menarik balik kenyataannya kerana disifatkan berniat jahat.

“Saya sudah buat kenyataan berhubung perkara ini dan menyatakan laman Twitter saya telah digodam. Saya akan membuat laporan polis berhubung perkara itu,” katanya yang berterusan mendesak Wee menarik balik dakwaan beliau.

Pertikaman lidah itu turut disertai beberapa anggota Parlimen pembangkang yang cuba mempertahankan Mohd Rafizi sebelum ditamatkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandie yang memutuskan supaya Ka Siong tidak lagi menyentuh dakwaan berkenaan.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia itu terhempas selepas dipercayai ditembak peluru berpandu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");