Laporan Eksklusif

Kebumi di Ampang

ibu nahas mh17

Alor Gajah: Jenazah ketua pramugara MH17 Mohd Ghafar Abu Bakar, 54, akan dikebumikan di Ampang, Selangor sejurus dibawa pulang ke tanah air, kata ibunya Maimon Sarpan (gambar).

Maimon, 74, berkata, perkara itu dimaklumkan isteri arwah Normi Abdullah, 54, kepadanya melalui telefon semalam dan ia juga sudah dimaklumkan kepada pihak Penerbangan Malaysia (MAS).

“Normi serta anak-anak arwah sudah berbincang jenazah dikebumikan di Ampang dan saya bersetuju kerana anak ketiga mereka, Anif Aiman, 12, yang meninggal dunia tujuh tahun lalu turut dikebumikan di sana.

“Apa yang penting, jenazahnya selamat sampai di Malaysia dan pengkebumiannya dapat diurus dengan segera kerana hari ini (semalam) sudah masuk hari ketujuh nahas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Menurutnya, sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana kejayaan rundingan beliau dengan kumpulan pemberontak pro-Russia untuk membawa pulang mayat penumpang dan anak kapal serta kotak hitam pesawat malang itu.

Katanya, walaupun dimaklumkan mengenai kejayaan itu, dia sentiasa berdoa supaya jenazah bapa kepada empat cahaya mata itu selamat diterbangkan ke Malaysia.

“Syukur tidak terhingga akhirnya mayat mangsa nahas dibawa keluar dari lokasi hasil kejayaan rundingan dilakukan Perdana Menteri.

“Lebih cepat jenazah dibawa pulang, lebih baik supaya pengkebumiannya boleh disegerakan.

Selagi jenazahnya tidak sampai di tanah air dengan selamat selagi itu saya tidak sedap hati,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga juga reda untuk menerima jenazah Mohd Ghafar itu dalam apa jua keadaan untuk dikebumikan kelak.

“Saya berdoa jenazahnya selamat tiba dan walau apa jua keadaannya saya reda, sekurang-kurangnya ada pusaranya untuk diziarahi,” katanya.

Mohd Ghafar meninggalkan seorang balu, Normi dan tiga anak Sa’imah Baizura, 29, Amar Syariff, 25, dan Hafiz Azim, 14.

Pesawat membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal itu berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di timur Ukraine.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");