Jenayah

Meraung cari kelibat ibu

serangan 1

Kelopak mata saya terus bergenang air mata tatkala melihat seorang kanak-kanak perempuan meraung kesakitan di atas katil. Kanak-kanak bernama Umairah berusia dua tahun itu meraung menjerit memanggil ‘Ummi….Ummi…Ummi’.

Saya dimaklumkan ibunya gagal dikesan dan mungkin menemui ajal akibat serangan Israel. Air mata saya menitis laju. Saya terbayangkan bagaimana masa depan anak kecil ini untuk meneruskan hidup tanpa ibu dan ahli keluarga lain.

Dalam kekalutan itu, muncul seorang doktor daripada bilik pembedahan mengatakan dia tidak menang tangan untuk merawat ribuan pesakit yang cedera. Saya tak mampu berkata apa-apa, hanya memanjatkan doa kepada Allah supaya seluruh Gaza dirahmati.

Senario itu saya alami ketika melakukan misi mengagih bekalan ubatan di Hospital As-Shifa iaitu antara hospital terbesar di Semenanjung Gaza, dua hari lalu.

Selain Hospital As-Shifa, saya juga melakukan misi sama di Hospital Kamal Adwan. Di kedua-dua hospital ini, keadaan amat meruntun perasaan dan sebenarnya amat sukar untuk saya gambarkan di sini.

Mayat hanya diletakkan di atas lantai kerana bilik mayat sudah penuh. Begitu juga dengan pesakit yang menerima rawatan, ada yang terpaksa dirawat di atas kerusi saja kerana semua katil di wad dipenuhi pesakit.

Keadaan begitu kelam-kabut dengan suara mengerang kesakitan dan tangisan waris yang kesedihan akibat kecederaan atau kematian orang tersayang.

Ambulans dan kenderaan awam yang membawa mangsa serangan pula keluar masuk selang hanya beberapa minit, menyebabkan petugas hospital tidak menang tangan untuk menguruskan pesakit.

Saya dimaklumkan, semua kakitangan hospital dikerahkan bekerja 24 jam untuk membolehkan lambakan pesakit dan mereka yang maut dapat diuruskan sebaik mungkin.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");