Perak Hari Ini

Tragedi MH17: Tindakan Kor Ming Salahkan Kerajaan Dikecam

Tindakan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang terus menuding jari dan menyalahkan kerajaan berhubung tragedi MH17 untuk meraih laba politik dikecam hebat oleh semua pihak termasuklah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco Ipoh pada Rabu, beliau berkata, wakil rakyat DAP itu seharusnya menunjukkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan bukannya terus menyalahkan kerajaan di atas kejadian tersebut.

“Sebagai rakyat, kita seharusnya menunjukkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan memikirkan tragedi ini merentasi batasan politik seperti yang ditunjukkan dalam sidang tergempar yang berlangsung di Parlimen, hari ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, semua ahli Parlimen yang bersidang membahaskan usul dengan satu harapan agar mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 dibawa ke muka pengadilan mengikut peraturan dan undang-undang antarabangsa.

“Sekarang bukanlah masanya untuk mana-mana pihak menuding jari menyalahkan kerajaan dengan bertindak menggunakan peluang politik untuk membelasah kerajaan,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, adalah amat malang ada di kalangan ahli politik yang melemparkan tuduhan yang keterlaluan terhadap kerajaan hingga masyarat luar yang terbabit dengan insiden itu berasa hairan dengan sikap mereka yang tidak menunjukkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka.

“Kita sepatutnya bersatu dalam keadaan tragedi yang sangat sedih ini dan menyuarakan rasa hiba dan simpati terhadap keluarga mangsa yang masih ada,” katanya.

Pada 17 Julai lalu, pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 280 penumpang dan 14 anak kapal ditembak jatuh di Shakhtarsk, Ukraine.

Dalam kejadian berhampiran sempadan Rusia-Ukraine itu, kesemua penumpang yang kebanyakannya rakyat Belanda terkorban selepas pesawat itu dipercayai ditembak jatuh oleh pemberontak pro-Rusia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");