Sukan Hari Ini

Janji juara

SO-YEON

Baltimore: Skuad golf wanita Korea Selatan bertekad menghadiahkan kejayaan Kejohanan Mahkota Antarabangsa LPGA kepada mangsa insiden feri karam yang meragut nyawa hampir 300 orang, April lalu.

Feri dari Seoul itu karam pada 16 April lalu dan ketika itu, 476 orang berada di atasnya termasuk 325 pelajar sekolah. Daripada jumlah itu, 294 disahkan terbunuh dan tragedi itu pantas mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pentadbiran negara.

“Selepas insiden itu, semua warga Korea berasa sedih. Semua orang masih mengingatinya hingga kini,” kata pemain ranking kesembilan dunia, Ryu So-Yeon yang juga juara Terbuka Wanita AS 2011.

“Justeru, kami mahu muncul juara kejohanan ini dan menghadiahkannya kepada semua rakyat Korea. Ia bermakna, kejohanan ini membawa makna lebih besar daripada Olimpik.” Bekas pemain nombor satu dunia, Choi Na-Yeon yang juga juara Terbuka Wanita AS 2012 berkata, dia sudah menghubungi semua rakannya di Korea untuk memberikan sokongan moral.

“Kami mahu menaikkan semangat semua peminat di Korea. Mereka mengharungi saat sukar sejak beberapa bulan lalu. Mereka turut menghubungi saya.” “Kami simpati dengan mangsa feri karam itu dan mahu menang kejohanan ini untuk negara dan rakyat Korea,” katanya.

Korea Selatan menjadi pilihan kedua daripada lapan pasukan yang menyertai kejohanan dengan Amerika Syarikat (AS) menjadi pilihan utama.

Korea Selatan akan bersaing dalam Kumpulan B bersama Jepun, Sweden dan Australia manakala AS berada bersama Thailand, Taiwan dan Sepanyol untuk Kumpulan A.

“Kami perlu bersatu dan saling menyokong satu sama lain,” kata So-Yeon. “Saya mahu melihat kekuatan sebenar pemain.

“Saya yakin kami pasukan terkuat dan yang penting perlu menjaga aksi masing-masing.” Ketika pemain AS dan Eropah sudah mempunyai pengalaman beraksi di Piala Solheim, ini acara individu pertama buat Asia walaupun So-Yeon pernah mewakili negaranya di Sukan Asia 2006 Doha.

“Saya menang emas ketika itu dan hampir menangis,” katanya. “Apabila anda men dengar lagu kebangsaan dimainkan dengan pingat di leher, anda pasti berasa bangga.

“Saya mahu merasai perasaan sama sekali lagi.”

– AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");