Jenayah

Kumpulan perompak diburu

prompak

BANTING – Pihak polis masih memburu sekumpulan perompak bersenjatakan parang yang dipercayai melakukan rompakan di sebuah pasar raya di Banting awal pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, anggota bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan sebuah pasar raya memaklumkan mereka telah disamun oleh sekumpulan lelaki dengan bersenjatakan parang dan pisau.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati semasa kejadian, terdapat tiga orang pengawal keselamatan sedang bertugas sebelum ketiga-tiga mangsa kemudiannya ditangkap oleh kumpulan suspek.

Selepas ditangkap kumpulan penjenayah berkenaan, tangan mereka diikat ke belakang menggunakan tali nilon.

“Suspek kemudiannya dibawa ke bilik pengawal di dalam pasar raya terbabit melalui bahagian barangan runcit sebelum membawa mangsa mangsa ke pejabat kewangan pasar raya terbabit dan telah membuka peti kebal menggunakan mesin pemotong besi dan mengambil wang tunai sebanyak RM197,000.

“Dalam pada itu tiga buah premis di dalam pasar raya berkenaan berjaya di pecah masuk termasuk sebuah premis menjual cermin mata dan barang kemas,” katanya.

Azman memaklumkan selain dilihat pintu premis menjual cermin mata diumpil sebuah lagi premis menjual barang kemas turut di pecah masuk dengan berjaya menebuk dinding plaster dari kedai baju bersebelahan.

Katanya, suspek kemudiannya dipercayai memotong pintu peti kebal bahagian bawah pintu yang menyimpan barang kemas seperti rantai, cincin dan subang serta wang tunai menggunakan mesin pemotong besi.

“Difahamkan kira kira jam 6.15 pagi kumpulan suspek yang dipercayai dianggotai seramai tujuh hingga lapan orang itu kemudiannya lari meninggalkan pengawal keselamatan mengikut arah yang tidak diketahui.

“Pengawal keselamatan berkenaan membuka ikatan di tangan mereka sebelum salah seorang daripada mereka melaporkan kejadian kepada pihak polis,” katanya.

Bagimanapun, jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana berkumpulan bersenjata.

Semalam, Sinar Harian melaporkan tiga pengusaha kedai di dalam sebuah pasar raya di Banting terkejut apabila kedai-kedai mereka terlibat dalam satu rompakan awal pagi, kelmarin.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");