Membawang Hari Ini

Hati seorang isteri

Siti Nurhaliza

Tempat seorang isteri haruslah di sisi suami. Saat suka mahupun duka, saat senang mahupun susah.

Apabila keadaan ini mampu diterima dengan baik, barulah layak digelar isteri yang taat setia. Biarpun ada ketikanya dugaan yang datang tidak mudah dan menuntut kesabaran tinggi.

Barangkali tidak mampu mengungkap kepayahan yang dilalui dengan kata-kata, ia dirakamkan biduanita ini dalam single terbarunya berjudul Jaga Dia Untukmu.

Lagu yang sedang beraja di stesen radio ketika ini dicipta Aubrey Suwito yang menyaksikan alunan suara Datuk Siti Nurhaliza.

Melodi dan lirik indah lagu itu mendedahkan perasaan wanita berusia 35 tahun ini sewaktu melalui detik sukar ketika suaminya Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa atau Datuk K terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2012.

“Saya bukan seorang yang suka berkongsi kepayahan yang saya lalui apatah lagi bercerita hal peribadi. Namun lagu ini saya sendiri minta ia dibuat sebagai dedikasi saya buat suami.

“Ia adalah luahan perasaan berhubung pengalaman dua tahun lalu ketika suami terbabit dalam kemalangan. Ketika itu saya dihambat perasaan yang berbaur-baur, sering berasa hiba, sedih dan berkecamuk. Tidak mudah melalui saat itu dan diceritakan kerana hanya saya saja yang tahu.

“Orang ramai tidak tahu apa yang sebenarnya yang berlaku, jadi saya minta Aubrey dan kakak ipar saya, Rozi yang tahu situasi sebenar mencipta sebuah lagu dan lirik berkisarkan kejadian itu,” katanya.

Siti berkata, harapan untuk melihat suami pulih tidak terbatas dengan memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa saja, tetapi juga dari segi kudrat serta masa sehinggakan dia melakukan satu pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya.

“Saya mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi selama empat bulan bagi menumpukan sepenuh perhatian saya kepada suami. Melihatkan keadaan suami sekarang, sayalah orang paling lega dan gembira,” katanya.

Tidak menafikan, terkadang hatinya hampa, geram dan kecewa apabila saat yang sudah cukup menduga dirinya dan suami itu, didatangi dengan pelbagai reaksi kurang enak daripada pelbagai pihak terhadap keadaan suaminya selepas kemalangan itu.

Walaupun terpanggil untuk bersuara, dia tetap berdiam diri kerana apalah guna untuk diceritakan sebenar sekiranya, masyarakat di luar sana tetap percaya dengan apa yang mereka percaya.

“Saya anggap ini sebagai satu cabaran seorang isteri yang perlu ditempuh. Kalau hendak kata tidak marah langsung, tipulah.

“Saya geram sebenarnya bila macam-macam cerita keluar mengenai suami, tetapi saya fikir lebih baik bersabar saja kerana mereka yang menimbulkan spekulasi tidak tahu keadaan sebenar suami saya.

“Mungkin pendirian keluarga tidak membenarkan Datuk K diziarahi kerana perlukan rehat dan menjalani rawatan fisioterapi setiap hari menyebabkan hal ini timbul,” katanya.

Menamakan album terbarunya sebagai Fragmen yang membawa maksud serpihan, sekeping atau sepotong, pelancaran album berkenaan diadakan di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Cukup membanggakan tatkala pasaran album lembap sejak hampir 10 tahun lalu, album yang memuatkan sembilan lagu itu turut menerima Anugerah Platinum apabila jualan album mencecah 5,000 unit dalam masa seminggu dikeluarkan.

Memuatkan lagu seperti Aku, Mula dan Akhir, Kau Sangat Bererti, Sanubari, Terbaik Bagimu, Warna Dunia dan Membunuh Benci, Fragmen sarat inti pati kasih sayang, semangat dan juga rasa kecintaan dalam perspektif kehidupan yang lebih meluas.

“Membentuk minda fikiran yang positif saya yakin lagu adalah salah satu medium menyampaikan mesej. Melodi yang indah tanpa lirik yang baik juga belum cukup sempurna pembikinan sesebuah lagu itu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");