Berita Hari Ini

Masyarakat Perlu Bijak Nilai Maklumat Dalam Media Sosial – KPN

media sosial

KUALA LUMPUR: Sikap masyarakat yang ghairah berkongsi maklumat berunsur fitnah menerusi media sosial dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan perbuatan itu boleh menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman awam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam satu kenyatannya di sini beliau berkata, masyarakat digesa supaya tidak mudah menerima dan menyebar maklumat menerusi media sosial kerana terdapat pihak sengaja menyebarkan isu-isu sensitif yang boleh memecah belahkan perpaduan kaum.

“Terkini ialah sebaran maklumat berniat jahat yang cuba mencabar kredibiliti kerajaan dan memperlekehkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan membandingkan bentuk tindakan yang diambil ke atas kes-kes tertentu.

“(Contohnya) kes Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin atau Kiki (kes buli jalan raya), Muhammad Zahier Afiq Zarol Nizam (dipukul lelaki Cina kerana terlibat dalam cubaan ragut) dan Alvin Tan (isu buka puasa dengan bak kut teh), apa yang cuba dibayangkan ialah kerajaan dan PDRM bersikap mementingkan kaum tertentu,” katanya.

Beliau berkata tindakan yang diambil ke atas ketiga-tiga kes itu adalah berbeza antara satu sama lain dan bergantung kepada pelbagai aspek siasatan termasuk aspek teknikal yang memakan masa.

“Dalam kes Siti Fairrah Ashykin, siasatan dapat dijalankan dengan cepat kerana dia memberi kerjasama dengan menyerah diri kepada polis dan mengaku akan kesalahannya.

“Kes Muhammad Zahier Afiq pula, lelaki yang dirakam sedang menendang remaja itu belum tampil untuk membantu siasatan polis. PDRM meminta sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden itu untuk menghubungi pihak polis bagi mempercepatkan proses siasatan.

Dalam kes Alvin, siasatan polis telah selesai dan kes tersebut sedang di dalam proses perbicaraan di mahkamah,” kata Khalid.

Beliau berkata PDRM menjalankan tugas dan tanggungjawab berlandaskan prosedur serta undang-undang, bukannya secara selektif atau atas kepentingan mana-mana kaum atau agama.

Tindakan menyebar maklumat palsu boleh diambil di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, katanya.

Khalid berkata di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), mana-mana pihak yang cuba melakukan atau melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut apabila disabitkan kesalahan bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang berikutnya boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata masyarakat harus bersikap lebih matang dan memahami apa yang terkandung di dalam media sosial.

“Jangan terikut-terikut dengan apa yang diperkatakan di dalam laman sesawang yang boleh mendatangkan perpecahan dan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini malam ini.

Antara yang hadir ialah Khalid, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohd Khalid Sharif.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");