Perak Hari Ini

Pemuda, Puteri UMNO Tanjung Malim Tidak Lupa Golongan Muda Yang Memerlukan

Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tanjung Malim baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada lebih 60 penerima yang mewakili golongan muda sempena bulan Ramadhan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Menerusi program Jelajah Imarah Ramadhan, golongan muda yang tidak berkemampuan itu didekati bagi menyelami hati dan perasaan mereka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan 1 Syawal, tahun ini.

Pelepasan konvoi disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim.

Konvoi bergerak ke beberapa lokasi terpilih untuk menyampaikan bantuan antaranya Kampung Ketoyong, Sungai Dara, Sungai Sekiah, Felda Gugusan Besout dan Changkat Sulaiman.

Menurut Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mohamad Amin Othman, pihaknya dapat menyelami masalah yang dihadapi rakyat khususnya golongan muda yang tidak berkemampuan di kawasan Parlimen Tanjung Malim.

“Hasil lawatan, kita mengenalpasti beberapa individu yang terlantar sakit dan memerlukan bantuan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO bahagian, Zuzaiti Md Zakaria, berkata pihaknya gembira kerana program itu berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

jai 2

“Alhamdulillah kerana program ini berjalan dengan lancar hasil kerjasama semua pihak dan kita akan terus turun ke cawangan untuk membantu ahli di peringkat akar umbi yang memerlukan bantuan,” katanya lagi.

Penerima bantuan, Mohd Nizam Yusuf, dari Felda Besout 3, merakamkan ucapan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Tanjung Malim di atas bantuan yang dihulurkan kepadanya.

“Saya bersyukur kerana Pemuda UMNO tidak lupa kepada golongan muda yang memerlukan bantuan,” tegas beliau lagi.

Bagi Zuraidah Abd Wahab pula, sumbangan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak dapat menceriakan keluarganya untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu dan sudah pastinya sambutan serta suasana Hari Raya yang bakal diraikan tidak lama lagi bertambah ceria,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");