Jenayah

Angin hitam bawa musibah

ribut 2

Temerloh: Ketika umat Islam bersiap menyambut Aidilfitri kurang seminggu lagi, 228 keluarga membabitkan seramai 1,192 penghuni terpaksa menanggung kesedihan apabila rumah mereka rosak dibadai ribut yang melanda 12 kampung di Mentakab, Lanchang dan Kuala Krau, di sini, petang kelmarin.

Tinjauan dilakukan Harian Metro menyaksikan kebanyakan rumah rosak teruk selepas atap dan bahagian lain diterbangkan angin kuat sejauh hampir 50 meter.

Akibat kejadian disusuli hujan lebat kira-kira jam 5 petang itu, peralatan rumah khususnya barangan elektrik rosak akibat terkena air selain persiapan hari raya seperti kuih muih dan baju raya turut terjejas.

Malah, keadaan sekeliling rumah juga menyaksikan banyak pokok tumbang sehingga ada yang menghempap rumah berhampiran.

Seorang mangsa, Rozilah Osman, 52, berkata, ketika kejadian dia berlindung di dapur rumahnya dan terdengar bunyi yang kuat dan menakutkan.

Katanya, dalam usaha menyelamatkan diri dan anak-anaknya, dia sempat melihat pusaran angin berwarna seakan hitam berpusar melalui tingkap sebelum memusnahkan garaj rumahnya.

“Saya bersyukur kami semua selamat dan hanya garaj kereta saja diterbangkan angin ke atas pokok selain beberapa pokok durian tercabut akibat angin kuat ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Salleh Jarab, 48, berkata, dia bersyukur kerana anak lelakinya yang berusia setahun terselamat dalam kejadian itu biarpun hampir ditimpa dinding rumah yang runtuh.

“Saya terkejut kerana pada masa kejadian, anak saya tidur di atas katil berhampiran dinding berkenaan namun lega kerana bucu katil menghalangnya daripada terkena anak saya.

“Saya terus berlari mendapatkannya dan ketika itu hanya terfikir keselamatan enam anak yang saya bawa berlindung di dapur sebelum melaungkan azan,” katanya.

Bagi Yazi Samad, 56, kejadian itu menyebabkan semua barangan untuk sambutan Aidilfitri keluarganya musnah.

Katanya, dia bersyukur semua ahli keluarga yang berada di dalam rumah berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meluangkan masa mengunjungi penduduk dan mangsa ribut di Kampung Gajah Mati dan Kampung Batu Kapur di sini.

Baginda bertitah, rakyat jangan mudah melatah ketika menghadapi dugaan dan cabaran Allah SWT sebaliknya perlu bersabar dan tabah.

“Kita perlu banyak bersabar dan berdoa supaya semuanya selamat, apatah lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini yang mengajar supaya banyak bersabar,” katanya.

Selain itu, baginda memberi jaminan mangsa ribut akan diberikan bantuan oleh Kerajaan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang (MUIP) selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");