Laporan Eksklusif

MH17: Malaysia Tumpukan Semua Sumber Yang Ada Untuk Dapatkan Mayat Mangsa – Liow

liow 3

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Malaysia Airlines (MAS) akan terus menumpukan semua sumber yang ada dalam usaha untuk mendapatkan semua mayat mangsa nahas MH17.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata meskipun proses mengenal pasti mayat akan dimulakan bagi jasad yang dibawa ke Netherlands hari ini namun mayat yang masih belum ditemui tidak harus dilupakan.

“Matlamat kami sekarang adalah untuk membawa pulang mangsa yang terkorban kepada keluarga dan orang tersayang secepat mungkin dan pada masa sama membenarkan para penyiasat meneruskan tugas mereka di lokasi nahas.

“Kami menggesa agar usaha mencari diteruskan sehingga menemui mangsa yang masih hilang dan berikrar untuk memanfaatkan segala ikhtiar sehinggalah kesemua mayat ditemui,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan menyertai masyarakat antarabangsa untuk merungkai kebenaran di sebalik kejadian yang berlaku.

Menurut Lioe apa yang berlaku bukan telah menyebabkan kebanyakan ahli keluarga yang dirundung duka, dan untuk mengelak tindakan kejam seperti itu daripada berulang selain membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Dalam pada itu keutamaan kami adalah memberi dorongan kepada pihak yang turut berkongsi kesedihan sambil bekerjasama rapat dengan kerajaan, badan antarabangsa dan pihak bertanggungjawab untuk membantu memastikan siasatan penuh serta menyeluruh dilaksanakan,” katanya.

Liow turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Netherlands dan Perdana Menteri Mark Rutte atas sokongan dan kerjasama mereka dalam waktu yang sukar ini.

“Kami sama-sama bekerja rapat untuk menghantar pulang jasad mangsa,” katanya.

Sementara itu dalam akaun Twitternya, Liow berkata pesawat tentera Netherlands yang membawa mayat penumpang dan kru MH17 telahpun mendarat di Eindhoven, Netherlands.

Jasad lebih 200 orang dihantar ke bandar Kharkiv di Ukraine semalam dengan kereta api yang dilengkapi gerabak peti sejuk dan kemudian diterbangkan ke Eindhoven dari sebuah lapangan terbang di Kharkiv.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");