Membawang Hari Ini

Didik diri bersederhana

didik bersederhana

KURANG dua hari lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Lazimnya, pada ketika ini. ramai di antara kita sibuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Begitu pun, jangan kita lupa, dalam keseronokan meraikan kedatangan Syawal, masih ada lagi yang sedang berduka.

Sebagai masyarakat Malaysia, tragedi yang berlaku ke atas dua pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 dan MH17 berada sangat dekat di hati selain kekejaman rejim Israel terhadap masyarakat Palestin di Gaza.

Kejadian demi kejadian secara tidak langsung mendidik diri agar bersederhana dalam menyambut lebaran yang bakal tiba.

Itulah yang cuba dikongsi oleh barisan ustaz ini yang terdiri daripada Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Mohd Shahrul Faizie Zaini, Taha Omar dan Imam Suhaib Webb.

Hidup ini adalah satu ujian. Semua ketentuan sama ada kesenangan mahupun kesusahan telah disusun rapi oleh ALLAH SWT yang bersifat al-Qadir dan al-Alim.

Sebagai manusia, kehidupan kita akan sentiasa diwarnai dengan ujian yang kadangkala datang dalam bentuk kesusahan atau kesenangan. Tahun ini, tanpa anda menyedari atau tidak, dunia bakal menyambut Syawal setelah melalui ujian pahit dan getir yang membabitkan kemalangan jiwa dalam pelbagai insiden yang tidak diingini.

Begitu pun, memetik kata-kata nasihat daripada Mohd Shahrul Faizie Zaini, Taha Omar, Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, dan Imam Suhaib Webb, masyarakat perlulah menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Kesabaran dalam menghadapi ujian yang tiada penghujungnya adalah peranan penting untuk menjadi insan yang bertakwa kepada ALLAH SWT.

Kawal sedih dengan berzikir – Mohd Shahrul Faizie Zaini

“Kita perlulah ingat bahawa setiap kejadian yang berlaku datangnya daripada ALLAH SWT.

“Malah, jangan sesekali menganggapnya sebagai satu musibah sebaliknya ia adalah ujian daripada ALLAH SWT sekali gus membantu meningkatkan keimanan kita kepada-Nya,” nasihat personaliti TV Al Hijrah, Mohd Shahrul Faizie Zaini.

Katanya, walaupun dalam keadaan bersedih dan berdukacita, ketibaan Syawal masih lagi diraikan meskipun ia dalam keadaan bersederhana.

“Tiada masalah sekiranya mahu menyambut Aidilfitri, kerana ia sangat dituntut oleh Islam.

“Lihat saja, ada amalan mulia seperti bermaaf-maafan dan ziarah-menziarahi yang masih diteruskan.

“Cuma, ia mungkin terjejas disebabkan kita sedang berduka sekali gus sambutannya menjadi tidak semeriah seperti yang diharapkan,” katanya.

Kata pengacara Isu Akidah ini, Syawal disambut sebagai menzahirkan rasa syukur.

Pada masa sama, katanya, kita tidak seharusnya melupakan kepada yang telah tiada.

“Anggaplah Syawal sebagai masa untuk bermuhasabah diri dan melakukan tarbiah.

“Sedekahkan sedikit pahala kita dan surah Al-Fatihah serta Yassin buat mereka,” katanya yang meminta agar semua masyarakat bersabar dengan kejadian yang menimpa.

Tambahnya lagi, kematian pasti tiba buat semua orang dan apa yang membezakan adalah cepat atau lambat.

“Saya tahu, kehilangan insan yang disayangi adalah sesuatu yang sangat tragik.

“Kita kena ingat semuanya adalah pinjaman ALLAH SWT. Malah, ALLAH SWT telah memberi peluang kepada kita untuk menjaga dan mendidik mereka untuk menjadi insan yang berguna.

“Tetapi, kita kena ingat, barang yang dipinjam, perlulah dipulangkan kembali. Oleh itu, terimalah dengan reda dan sabar,” katanya yang menggalakkan agar keluarga mangsa nahas MH17 sentiasa berzikir bagi mengawal perasaan sedih.

Beraya di studio

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitrinya, pengacara Assalamualaikum ini bakal meraikan 1 Syawal di studio, buat kali ketiga tahun ini.

Suami kepada Noor Syuhada Mohamed Salleh ini menyifatkannya sebagai satu tanggungjawabnya kepada masyarakat.

“Sentiasa istiqamah dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

“Ia menjadi kekuatan saya apabila jiwa dan hati berfikir hanya untuk meraikan Syawal bersama-sama masyarakat terutamanya ketika ‘on air’,” katanya yang berasa cukup bertuah lantaran keluarganya sangat memahami kerjayanya itu.

Dalam pada itu, lebarannya juga dijangka lebih meriah waima dia kini punya keluarga yang besar.

Tidak melibatkan pertambahan bilangan ahli keluarganya sebaliknya ustaz kelahiran Muar, Johor ini baharu saja memulakan perniagaan menjual busana Muslim, Tip Top Touch, sejak tiga bulan lalu.

“Menerusi perniagaan itu, saya ada komuniti sendiri.Kami merancang untuk beraya bersama-sama,” katanya yang bakal beraya di kampungnya di Muar, Johor dan kemudian ke Perak.

Ketika ditanya mengenai menu wajibnya di pagi raya, ketupat, rendang ayam, kuah lodeh dan sambal kacang menjadi pilihan utamanya.

Lihat dari sudut positif – Taha Omar

Kata Taha Omar, apa saja musibah yang hadir adalah daripada ALLAH SWT.

Jadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam adalah wajib beriman dengan-NYA dan percaya setiap kejadian yang ALLAH SWT turunkan ada sebabnya yang tersendiri.

Begitu pun, pengacara Santai Ramadan ini meminta agar masyarakat memandang positif akan setiap kejadian yang telah berlaku.

“Terdapat tiga perkara mengapa ALLAH SWT menurunkan ujian iaitu mahu mengangkat darjat seseorang, diampuni dosa dan menggantikan sesuatu yang hilang dengan sesuatu yang lebih baik.

“Dari sudut positifnya, krew dan penumpang beragama Islam yang terkorban dalam nahas MH17 disifatkan sebagai syahid akhirat,” katanya.

Ketika ditanya apakah cara terbaik untuk menyambut Aidilfitri di saat masyarakat masih lagi berduka dengan pelbagai peristiwa sedih yang tidak diingini ini, ustaz berusia 28 tahun ini ternyata ada jawapannya sendiri.

“Aidilfitri seharusnya disambut kerana ia adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. “Hari raya adalah masa untuk bergembira jadi janganlah hanya bersikap menyendiri dan berkurung. Lihat saja amalan seperti ziarah-menziarahi atau paling tidak, anjurlah majlis-majlis tahlil dan bersedekah amalan kita kepada mereka yang telah pergi.

“Tetapi, terserahlah untuk menyambutnya dalam keadaan gembira atau tidak,” katanya.

Katanya lagi, dari sudut psikologi, bagi mengurangkan perasaan sedih digalakkan untuk menangis tetapi bukanlah sehingga meratapinya.

Malah, Islam juga menggalakkan untuk berzikir dan membaca al-Quran bagi menenangkan hati yang gundah.

“Baca al-Quran itulah yang sebaikbaiknya. Jika boleh, bacalah sekali dengan terjemahan agar kita faham apa maksud yang cuba disampaikannya dan membuat kita lebih menghayatinya.

“Penuhilah masa dengan beribadah daripada hanya menangis sehingga meratap pemergian orang yang telah tiada,” katanya. Di kelilingi ‘orang baharu’ Mengulas mengenai sambutan lebarannya, kata anak kelahiran Kelantan ini, sambutan Aidilfitri kali ini adalah saat yang paling indah.

Jika tahun-tahun sebelum ini, sambutan Aidilfitri pemuda berusia 28 tahun ini hanyalah di samping keluarga dan sanak saudaranya, tetapi ada sedikit kelainan pada tahun ini.

Ini kerana, dirinya bakal dikelilingi oleh ‘orang baru’ iaitu isterinya, Shakila Anuar dan anak perempuannya, Maria Haanim Tash yang baru saja lahir pada 4 Julai lalu, “Isteri saya baru saja melahirkan cahaya mata sulung kami.

“Alhamdulillah, seperti jangkaan doktor, kami peroleh anak perempuan dan diberi nama Maria Haanim Tash,” katanya yang bakal beraya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Keterujaannya menimang cahaya mata turut dikongsi dengan ibu dan bapanya yang kini berada di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan sementelahan lagi, Maria Haanim Tash adalah cucu pertama perempuan bagi keluarga di sebelahnya.

“Bapa saya membeli pelbagai barang keperluan bayi seperti pakaian, kereta sorong bayi dan katil bayi.

“Mungkin kerana terlalu seronok apabila mendapat tahu bakal memperoleh cucu perempuan,” gelaknya sambil memberitahu dia meminati hidangan kuzi ayam.

Sentiasa ingat ALLAH SWT – Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Bagaikan bersepakat, Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim turut berpendapat semua peristiwa yang berlaku kini adalah ujian daripada ALLAH SWT.

Selain itu, musibah yang menimpa juga memberi petanda supaya umat Islam sentiasa mengingati ALLAH SWT.

“Pemimpin khasnya perlu lebih peka dalam membangunkan Islam terutamanya daripada segi pentadbiran di negara ini.

“Malah, pemimpin juga perlu lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan syiar Islam selain perlu lebih menepati cara hidup mengikut Islam,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap stesen TV juga perlu menambahkan lagi rancangan-rancangan yang bercorak keagamaan demi menarik penonton untuk mendalami Islam.

“Biar rancangan agama ini dapat menarik perhatian dan minat penonton. “Bahkan ia juga dapat mewujudkan kesedaran terhadap Islam,” katanya.

Katanya lagi, Aidilfitri yang bakal disambut juga perlu diambil perhatian oleh masyarakat umum.

“Lebaran perlu diraikan dengan kegembiraan kerana kita meraikan kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa.

“Tetapi, pada masa sama, kita juga tidak melupakan sahabat-sahabat kita yang ditimpa dengan musibah.

“Oleh itu, segala program atau tutur kata haruslah berhati-hati agar tidak menyinggung hati banyak pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Izhar Ariff turut menasihati semua pihak agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya menerusi media-media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Janganlah kita berkata sekiranya kita tidak mengetahui apa-apa. Kelak, ia dapat menggores perasaan golongan yang sedang menanggung,” katanya.

Hak milik masyarakat

Biarpun Aidilfitri digunakan sepenuhnya untuk meluangkan masa dengan keluarga tercinta, namun sebagai ‘hak milik masyarakat’, Dr Mohd Izhar Ariff terpaksa akur dengan situasi berkenaan. Bakal beraya di rumah mertuanya di Kelantan pada raya pertama ini, namun Dr Mohd Izhar Ariff mengakui terpaksa memenuhi beberapa jemputan ceramah di beberapa masjid di sana.

“Mungkin kerana sudah dikenali, dua tiga hari sebelum raya, saya banyak mendapat jemputan ceramah daripada kariah masjid di sana.

“Tidak mengapa, asalkan usaha dakwah dapat diteruskan. Ini adalah salah satu pengorbanan apabila bergelar seorang pendakwah.

“Mungkin kerana masyarakat pun sudah kenal dan berminat mendengar ceramah yang disampaikan,” katanya yang berasal dari Melaka.
Golongan muda boleh jadi imam – Imam Suhaib Webb

Sudah hampir 12 tahun, Imam Suhaib Webb dilantik untuk mengetuai pusat komuniti Islam, The Islamic Society of Greater Oklahoma City dan menjadi imam di sana. “Melalui pengalaman yang ada, saya percaya golongan muda seharusnya diberi peluang menjadi imam.

“Jangan bimbang jika anda melakukan kesilapan kerana ia memberi kita pengajaran yang bermakna.

“Malah kalau hendak berjaya, kita perlu gagal dahulu,” katanya yang menerima tawaran menjadi imam di atas permintaan gurunya.

Tidak setakat itu, ilmu yang dimiliki Suhaib juga tidak disimpan seorang diri sebaliknya disampaikan kepada komuniti Islam di Amerika Syarikat (AS) dan juga United Kingdom melalui tiket sebagai pendakwah.

Kini, Suhaib merupakan imam di Masjid Boston di bawah kendalian Islamic Society of Bolton Culture Centre (ISBCC), antara komuniti Islam terbesar di AS.

Bahkan, Suhaib turut mengendalikan sebuah laman web Suhaib Webb – Your Virtual Mosque yang boleh dilayari di www.suhaibwebb.com sebagai salah satu usaha dakwah kepada masyarakat.

Raya di AS

Teraju awal sebagai hos Reflections di TV Al Hijrah, Imam Suhaib Webb terkilan kerana tidak dapat meraikan Aidilfitri di Malaysia kerana terikat dengan kerjayanya.

“Saya suka untuk terus berada di sini. Tetapi, apa saya nak buat?. “Saya perlu bekerja,” katanya sedih. Jelasnya, banyak bezanya sambutan Syawal di AS dan Malaysia.

“Sambutan di sini mungkin agak lebih meriah.

“Lagi pula, Malaysia ada masyarakat yang pelbagai kaum dan semuanya baik-baik,” katanya yang menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang cantik dan indah serta wajib dikunjungi oleh pelancong.

Katanya, sambutan Lebaran di AS berlangsung dalam suasana bersederhana dan semua komuniti akan berkumpul di masjid yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");