Membawang Hari Ini

Harith kejar impian

harith

Jelajah dunia promosi komedi Malaysia, beraya di New Delhi, India cari pengalaman baharu

Bermula di Singapura pada 18 Jun lalu, Harith Iskander bakal menyambung siri jelajah mempromosikan edisi komedi Malaysia ke New Delhi, India ketika umat Islam meraikan Aidilfitri.

Ini bermakna, bapa kepada dua cahaya mata itu terpaksa mengorbankan hasrat meraikan kemeriahan hari raya bagi memenuhi komitmen terhadap impian yang diusahakan sejak lama dulu.

Bagaimanapun, Harith yang digelar ‘Raja Stand-up Comedy Malaysia’ bertuah mendapat sokongan padu isteri tercinta, Dr Jezamine Lim yang cukup memahami dan memberi sepenuh semangat supaya meneruskan misi itu.

“Selain India, saya perlu menjelajah destinasi lain mengikut jadual festival negara dilawati. Sehubungan itu, saya tidak ada pilihan kerana perlu berada di India sebelum 1 Syawal untuk beraksi bersama barisan karyawan dari negara lain.

“Selepas bertahun menyimpan impian berada di pentas global, akhirnya masa sudah tiba kerana selama ini ia sering tertangguh disebabkan komitmen tugas.
Andai saya tunda, bermakna saya tidak tahu bila peluang sama datang semula,” katanya yang bermodalkan lebih dua dekad pengalaman melayari dunia pengacaraan, lakonan dan komedi pada persembahan itu kelak.

Selepas New Delhi, Harith akan berada di Perth, Australia pada 14 Ogos disusuli Hong Kong (dua hari mulai 22 Ogos) sebelum mengakhiri siri jelajah di Seoul, Korea Selatan pada 27 September depan. Awal bulan ini, khabarnya, Harith berjaya menakluk Jakarta dengan jenaka bersahaja.
Ditanya persiapan menghadapi penonton di luar negara, kongsinya, pengalaman beraksi di setiap acara dianggap ‘sekolah’ tidak rasmi kerana setiap acara mempunyai atmosfera berbeza bergantung kepada isi dewan.

“Komedi tunggal bukan drama atau filem yang bergantung kepada skrip. Sebaliknya, lontaran cerita harus melihat dulu reaksi penonton. Daripada situ, kita sudah boleh tentukan arah tuju jenaka seterusnya.

“Ini bukan ilmu yang boleh dipelajari setahun dua kerana skil bercerita tanpa berlebihan bagi mengundang tawa hanya dapat dikuasai andai kita tampil yakin serta punya isi cerita.

“Dalam berlawak, saya pastikan tidak menyentuh soal sensitif atau perkara lucah. Jika kita bijak bermain ayat, kita tidak perlu bahan murahan semata-mata mengajak orang menyambut jenaka kita dengan ketawa,” katanya yang berhasrat berkongsi pengalaman dengan pelapis muda.

Gajet alih perhatian beraya

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri, seperti ibu bapa lain tumpuan utama adalah persiapan anak. Ini kerana merekalah yang lebih merasai kemeriahan musim perayaan lebih-lebih lagi anak sulung, Zander Xayne Iskander yang sudah berusia dua tahun empat bulan yang makin bijak.

Kongsi bapa penyayang itu lagi, kedatangan ahli keluarga baru iaitu si kecil yang mencecah sembilan bulan, Alessandrea Jayne Iskander, membuatkan sambutan perayaan kali ini lebih bermakna.

Walau berdarah campuran dan tampak menjalani kehidupan serba moden, Harith tetap mengutamakan amalan kunjung mengunjungi sama ada di kalangan saudara mara atau kenalan.

“Dulu ketika kecil kami akan pulang ke kampung sebelah ayah di Johor. Paling seronok kumpul duit raya dari rumah ke rumah. Kadang-kadang sampai petang baru habis kami ronda satu kampung.

“Tapi rasanya senario sekarang agak berbeza disebabkan faktor keselamatan walaupun di kampung. Ramai di kalangan generasi sekarang sudah tidak merasa pengalaman seperti itu. Malah, adanya gajet turut memusingkan perhatian mereka terhadap permainan terbabit.

“Sebagai ayah, saya mahu terapkan amalan berziarah kepada anak. Biarpun dibesarkan di bandar, saya tetap rindukan suasana desa. Saya juga bukan jenis suka pergi bercuti pada musim perayaan kecuali disebabkan komitmen tugas kerana bagu saya musim perayaan adalah masa bersama keluarga dan insan terdekat,” katanya.

Berasa bertuah dilahirkan dalam keluarga pelbagai budaya, perkahwinan bersama Jezamine yang berketurunan Cina-India sejak lima tahun lalu ‘memperkayakan’ lagi kehidupan mereka sekeluarga.

Malah, nada suara lelaki berusia 48 tahun kedengaran lebih teruja apabila berbicara perihal keluarga sekali gus menyerlahkan kebahagiaan hakiki yang kini dilaluinya terutama selepas bergelar suami dan ayah.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");