Jenayah

Anak yatim kena tipu

normala

JOHOR BAHRU – Rasa teruja 75 anak yatim dan miskin untuk dirai dalam satu majlis berbuka puasa dan menginap di Hotel Berjaya Waterfront, di sini, kelmarin, berakhir dengan perasaan hampa.

Kesemua mereka yang ditemani lapan penjaga dari Surau Silaturahim di Gombak, Selangor itu dianiaya dan menjadi mangsa penipuan seorang lelaki kononnya bertindak sebagai penganjur.

Mereka yang berusia antara dua hingga 18 tahun mendakwa dijemput menghadiri majlis berbuka puasa selain akan diberi sumbangan Aidilfitri oleh pihak hotel berkenaan meskipun sebenarnya tiada sebarang  program dianjurkan untuk mereka.

Penjaga anak yatim dan miskin itu, Normala Baharim, 27, berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki dikenali sebagai Faiz sekitar jam 9 malam pada 21 Julai lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit memberitahu mengenali salah seorang penjaga selama lima tahun dan menghubungi untuk memberi bantuan duit raya serta menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan miskin.

“Lelaki ini bersetuju memberi sumbangan kepada anak-anak ini dan memberi alamat hotel di mana tempat lokasi majlis diadakan iaitu Hotel The Zon Stulang Laut (kini juga dikenali Hotel Berjaya Waterfront).

“Lelaki ini juga memberitahu bahawa segala perbelanjaan dan kos perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru akan ditanggung termasuklah penginapan hotel.

“Malah pada Isnin lalu, lelaki itu sekali lagi menghubungi seorang penjaga meminta supaya anak yatim bersiap sedia untuk datang ke Johor Bahru, malah kos sewa bas akan ditanggungnya.

“Anak yatim di bawah jagaan kami amat gembira apabila mendapat pelawaan terbabit lebih- lebih lagi pusat jagaan ini baru beroperasi tahun ini,” katanya ketika ditemui di hotel terbabit, di sini semalam.

Normala berkata, ketika dalam perjalanan kelmarin, pihaknya ada menghubungi Faiz kira- kira jam 11.45 pagi bagi memaklumkan mereka sudah bergerak menuju ke Johor Bahru menaiki dua bas yang disewa khas.

Katanya, sebaik tiba di hadapan hotel, pihaknya cuba menghubungi Faiz, namun hampa kerana lelaki terbabit mematikan telefonnya selepas beberapa kali mencuba.

“Lebih kurang 2.30 petang, kami sampai ke hotel dan berjumpa dengan pekerja hotel bertanya sekiranya ada majlis diadakan atas nama Faiz.

“Tetapi kakitangan hotel memberitahu mereka tidak ada sebarang majlis yang dianjurkan untuk anak yatim berkenaan.

“Saya mula rasa tertipu dan sedih kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menganiaya anak- anak ini, apatah lagi mereka begitu gembira dapat menginap di hotel mewah, tetapi akhirnya tidak kesampaian,” katanya.

Beliau memberitahu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Pelangi sekitar jam 6.40 petang, pada hari yang sama.

Pengurus Besar Hotel Berjaya Waterfront, Zaharuddin Abd Jalil berkata, pihaknya tidak pernah menganjurkan acara atau menjemput kumpulan anak yatim terbabit.

“Saya terkejut kerana tidak ada dalam perancangan menjemput mereka, namun pihak hotel bersama rakan korporat lain mengambil inisiatif menyediakan 30 bilik penginapan dan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka.

“Saya percaya ada individu yang berniat jahat mahu menyusahkan anak yatim ini selain memburukkan nama hotel ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisoner Sulaiman Salleh, mengesahkan menerima laporan terbabit dan memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Selain itu, pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru diketuai pegawainya Manayi Ibrahim turut berkesempatan bertemu serta menyampaikan duit raya bagi menggembirakan anak yatim dan miskin berkenaan.

Manayi turut mengingatkan semua pertubuhan berkaitan agar tidak mudah terima sebarang tawaran sekiranya tiada surat rasmi diterima dari pihak penganjur bagi mengelakkan daripada dianiaya pihak tidak bertanggungjawab.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");