Membawang Hari Ini

Nazeera tak gentar

Nazeera

Baru dua tahun membina nama di persada industri hiburan tanah air nyata bukan perkara mudah.

Walaupun memiliki bakat, namun semuanya bergantung kepada rezeki.

Tidak dinafikan, ketika ada segelintir teman seangkatannya sudah berjaya membina nama dan dikenali ramai, pelakon Nazeera Sardi pula nampaknya masih perlu bekerja keras.

Walaupun pernah berlakon drama Tanah Merah terbitan Filmscape Sdn Bhd dan membintangi filem CEO di samping pelakon Remy Ishak dan Beto Kushairy, namun ia masih belum cukup untuk memahat nama Nazeera.

Bertemu Nazeera dalam satu majlis hiburan di ibu kota, baru-baru ini, anak bongsu dalam keluarga itu mengakui dia masih lagi memerlukan ruang dan peluang untuk terus mengetengahkan bakat lakonan dimiliki.

Memaklumkan pembabitannya dalam lakonan berlaku secara kebetulan, Nazeera, 28, berkata, karier awalnya bermula dalam iklan dan pengacaraan ketika berusia 25 tahun. Hanya setahun selepas itu barulah dia mendapat peluang berlakon.

“Ketika itu saya tak boleh terlalu serius dalam bidang seni kerana masih terikat dengan pengajian dalam bidang bio teknologi industri.

“Kini selepas tamat belajar barulah saya serius dalam lakonan, namun umur pula sudah semakin meningkat. Apapun, saya tetap yakin dengan rezeki ditetapkan Tuhan,” katanya yang muncul dalam drama Berlima Ramadan terbitan JS PIctures Sdn Bhd untuk RTM, baru-baru ini.

Nazeera yang hingga kini masih bersih daripada sebarang kontroversi mengakui dia takut dihambat cerita sensasi kerana perlu menjaga perasaan ibu dan keluarga.

Katanya, berilah dia peluang untuk dikenali menerusi bakat lakonannya.

“Saya tahu gosip atau kisah sensasi itu sebahagian daripada lumrah hidup artis tetapi seboleh-bolehnya saya tidak mahu diri dikenali masyarakat dengan kisah negatif atau berbaur peribadi.

“Apatah lagi, melihat pada persaingan membabitkan pelakon baru dalam industri seni yang semakin rancak kini, ia penanda positif menunjukkan perkembangan pesat yang berlaku. Jadi, saya harus sedia bersaing,” katanya.

Mengulas mengenai populariti dirinya, Nazeera berkata, dia tidak kisah perlu mengharungi pelbagai cabaran untuk dikenali masyarakat asalkan tidak dihimpit gosip dan kontroversi.

Berbicara pula soal penggunaan media sosial yang dianggap lebih mendekatkan artis kepada peminat, Nazeera berkata, dia juga enggan ketinggalan daripada arus kecanggihan teknologi masa kini.

Katanya, dia memang ada akaun media sosial seperti Facebook, Twitter dan
Instagram tetapi kurang aktif dan agak jarang mengemas kini status.

“Jika saya kemas kini status pun, ia lebih ke arah berkongsi perkembangan aktiviti dalam karier. Saya memang lebih selesa berkongsi soal kerja berbanding peribadi,” katanya.

Berasal dari Negeri Sembilan, Nazeera juga akan muncul dalam drama 26 episod, Diaspora Cinta.

Melakonkan watak utama dalam drama itu, Nazeera bergandingan dengan pelakon kacak, Afiq Muiz.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");