Berita Hari Ini

Mesej penting di sebalik batal rumah terbuka

shabery

PUTRAJAYA – Pembatalan Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri Aidilfitri 2014 merupakan mesej penting kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dan berkongsi kesedihan bersama anggota keluarga mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Ia satu isyarat yang kita berikan kepada dunia bahawa ia peristiwa yang besar dan begitu malang bukan sahaja kepada mangsa rakyat Malaysia tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Tidak sesuai untuk kita masih bergelak ketawa, merayakan secara biasa, sedangkan mereka di peringkat untuk mengadakan bedah siasat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan perkembangan terbaru mengenai Ekonomi Digital di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri sempena Aidilfitri 2014 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dibatalkan bagi menghormati mereka yang terkorban dalam nahas pesawat MH17.

Kabinet juga dilaporkan bersetuju membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang dijadual diadakan di Rembau, Negeri Sembilan.

Ahmad Shabery turut menyeru rakyat Malaysia agar hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang atau Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang apabila jenazah dibawa pulang dari Belanda nanti sebagai tanda melahirkan kesedihan.

“Kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu, bersedih, sama-sama merasakan kepedihan daripada kehilangan ini ke tahap yang tertinggi sekali.

“Dunia mesti tahu dan tidak membenarkan mereka yang bertanggungjawab terlepas begitu sahaja,” katanya.

Pesawat Boeing 777-200 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Ia membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal – dipercayai ditembak jatuh, tetapi sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukannya.

Ahmad Shabery berkata kerajaan juga belum membuat sebarang keputusan berhubung sambutan Merdeka tahun ini ekoran insiden MH17 itu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");