Perak Hari Ini

Jasa Pahlawan Negara Dihargai

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memuji semangat serta keberanian yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan negara yang terdiri daripada anggota tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Peranan pasukan ini amat penting apabila anggota tentera dan polis menjunjung semangat kesetiaan kepada Raja dan negara serta menjaga kedaulatan sesebuah negara merdeka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa mencemar duli menghadiri majlis berbuka puasa, bacaan Yassin dan tahlil sempena Hari Pahlawan peringkat Negeri Perak, petang tadi.

Majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Azlan Shah, dekat Ipoh itu
dihadiri lebih 1,500 tetamu.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Titah baginda lagi, anggota tentera dan polis merupakan insan yang memiliki semangat juang yang kental, semangat keberanian yang luar biasa serta dedikasi unggul untuk memenuhi amanah dan tanggungjawab.

“Negara yang aman dan warga hidup tenteram adalah hasil dedikasi daripada komitmen para anggota tentera dan polis yang melaksanakan tugas secara berkesan,” titahnya lagi.

Jelas baginda lagi, sambutan Hari Pahlawan bukan sahaja untuk memperingati para anggota tentera dan polis yang terkorban tetapi juga perlu ditafsir sebagai ingatan kepada anggota yang masih lagi bertugas.

“Sambutan ini juga sebagai apresiasi negara kepada kaum keluarga yang kehilangan ahli keluarga serta insan dikasihi,” titah baginda.

Baginda turut menyeru semua pihak untuk terus mengingati dan menghargai sumbangan anggota tentera dan polis yang menjalankan tugas ke serata dunia terutama sekali apabila menjelangnya 1 Syawal.

“Mereka ini merupakan pahlawan sejati, wira terpuji yang terpahat cinta kesetiaan kepada negara dan bangsa,” ujar baginda lagi.

Di akhir titahnya, baginda turut menzahirkan simpati kepada ahli keluarga yang telah kehilangan insan yang disayangi.

“Negara terhutang budi kepada setiap seorang dari anggota tentera dan polis yang gugur ketika menjalankan tugas.

“Negara juga wajib memberikan pengiktirafan tinggi kepada mereka yang masih bertugas,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");