Sukan Hari Ini

‘Saya naif’

azizul 1

Glasgow: Pelumba negara, Azizulhasni Awang kesal dan memohon maaf kepada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dan kontinjen Malaysia kerana memakai sarung tangan yang ditulis dengan perkataan ‘Selamatkan Gaza’ ketika menyertai acara pecut individu pada pusingan pertama di Velodrom Sir Chris Hoy di sini, kelmarin.

Azizul yang tewas di suku akhir acara itu semalam berkata, dia tidak bermaksud untuk menunjukkan rasa tidak hormat atau menghina mana-mana pihak di atas tindakannya itu.

“Saya kesal dan memohon maaf kepada CGF dan kontinjen negara. Saya naif dan tidak memahami akan kesan di atas tindakan saya itu,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkannya di sini, semalam.

Pelumba itu berkata dia sudah menjelaskan keterlanjurannya itu kepada Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Ong Poh Eng dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada CDM Malaysia, MOM, pengurus pasukan dan jurulatih saya kerana membantu menyelesaikan isu ini. Saya tidak akan mengulangi kesilapan itu,” katanya.

Bantahan rasmi

Dalam kejadian kelmarin, Azizul memakai sarung tangan yang ditulis dengan perkataan ‘Selamatkan Gaza’ dan kemudian menunjukkannya kepada kamera televisyen selepas menewaskan pelumba England , Philip Hindes, pada pusingan pertama acara pecut individu di Velodrom Sir Chris Hoy di sini.
Tindakan Azizul jelas melanggar peraturan CGF, yang melarang atlet yang bertanding menggunakan kejohanan itu sebagai platform politik.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Amarjit Singh Gill, berkata beliau dimaklumkan CGF sudah menghantar bantahan rasmi kepada kontinjen Malaysia mengenai tindakan Azizul itu kerana ia adalah satu kesalahan yang serius yang juga boleh membawa kepada penggantungannya dari pertandingan.

“Malam tadi, satu mesyuarat membabitkan CDM Malaysia, Naib Presiden MOM, Datuk Low Beng Choo, saya, jurulatih dan Azizul diadakan.

“Azizul mengakui kesilapannya dan meminta maaf. Kami juga sudah memberi amaran bertulis kepadanya supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");