Perak Hari Ini

2,000 Rakyat Teluk Intan Terima Sumbangan Zakat Daripada Gulam Rasul

Lebih 2,000 golongan kurang berkemampuan di Parlimen Teluk Intan menerima sumbangan zakat yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Dewan Masjid India, dekat Teluk Intan, sebentar tadi.

Zakat itu disumbangkan oleh peniaga tempatan, Gulam Rasul Mohamad Hussain yang bertujuan meringankan beban golongan itu membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan diraikan, Isnin nanti.

Sejak 14 tahun lalu, sumbangan zakat terus diagihkan keluarga itu kepada penerima Islam dan bukan Islam di kawasan itu sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zambry berkata, rakyat negara ini seharusnya bersyukur di atas nikmat keamanan yang dikecapi negara ini.

Selain itu, sifat saling hormat-menghormati antara sama lain perlu terus menjadi amalan rakyat agar perpaduan yang sedia terjalin kekal utuh.

“Saya berharap agar penerima yang menerima sumbangan zakat hari ini bersyukur di atas bantuan yang dihulurkan pihak yang penganjur.

“Marilah kita berdoa supaya negara ini terus berada dalam keadaan yang aman serta diberkati Allah SWT.

“Kepada pihak penganjur pula, saya berharap agar pemberian zakat ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang dan semoga Allah memberi kebaikan dan ganjaran kepada keluarga Gulam Rasul sekeluarga,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohamad Azhar Jamaluddin, berkata pihak lain seharusnya mencontohi keluarga Gulam Rasul yang terus menghulurkan sumbangan zakat kepada rakyat yang tidak berkemampuan di Parlimen Teluk Intan.

Sumbangan zakat yang konsisten sejak tahun 1994 itu katanya, sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan untuk meringkankan beban yang ditanggung oleh golongan tidak berkemampuan.

“Selain negara yang aman dan makmur, rakyat cukup bertuah kerana mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab hingga peniaga dapat berniaga dalam suasana baik dan seterusnya mengeluarkan zakat untuk membantu rakyat yang tidak bernasib baik,” kata beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Syed Ibrahim Gulam Rasul, berkata tradisi sumbangan zakat akan diteruskan lagi di tahun-tahun mendatang.

“Ketika sumbangan zakat pertama dihulurkan pada 1994, hanya 200 penerima menerima faedahnya dan tahun ini, angkanya mencecah lebih 2,000,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar sumbangan itu dapat meringankan beban penerima zakat untuk membuat persiapan menjelang 1 Syawal nanti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");