Isu Panas

SUPP: Kenyataan ‘murah hati’ mereka melucukan

datuk dr sim

KUCHING – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyifatkan langkah tujuh bekas anggotanya menarik balik permohonan bagi semakan kehakiman keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak membatalkan pendaftaran parti itu sebagai membalas dendam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Sim Kui Hian dalam kenyataan malam tadi berkata, langkah itu tidak mengejutkan dan mereka tidak yakin dengan alasan yang diberikan oleh bekas ahli parti itu untuk mengambil langkah seperti itu.

“Kami dengan ini tidak terkejut bahawa ketujuh-tujuh mereka membuat keputusan untuk menarik balik tindakan mahkamah.

“Penarikan ini adalah sebagai membalas dendam kepada parti kami,” kata beliau.

Menurut beliau, dakwaan ketujuh-tujuh bekas anggota itu – Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina, Dr Johnical Rayong, Shilling Banggit, Datuk Tiong Thai King, Suzanne Lee dan Sia Jii Ming – bahawa tindakan mereka adalah sebagai menunjukkan “sikap murah hati” adalah sesuatu yang melucukan.

“Selepas mengeluarkan kenyataan yang banyak memburukkan parti dan kepimpinannya, kami tidak fikir bahawa kenyataan itu meyakinkan kami,” kata beliau.

Dalam permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pemohon mendakwa, pada November 2011, sebelum parti mengadakan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali, ada aduan mengenai pelanggaran aturan dan penipuan dalam pemilihan parti.

Mereka mendakwa bahawa mereka telah membawa pertikaian itu kepada ROS tetapi berlaku kelewatan oleh agensi itu untuk mengambil tindakan yang perlu.

Pemohon antara lain, memohon deklarasi bahawa keputusan yang dibuat oleh ROS pada 30 April tidak mendaftarkan semula SUPP dibatalkan dengan serta merta.

Bagaimanapun, ketujuh-tujuh mereka membuat keputusan untuk menarik balik permohonan semalam dan dalam kenyataan yang diberikan oleh peguam mereka, mereka berkata adalah lebih baik untuk tidak meneruskan tindakan kerana mereka telah menyertai parti baharu Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Perkara yang lepas jangan dikenang dan berharap bahawa kami bersama-sama bergerak untuk mewujudkan kestabilan politik dan harmoni di Sarawak,” kata mereka. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");