Jenayah

Analisis impak hentakan

tragedi mh17

Kuala Lumpur: Bacaan impak hentakan yang dirakam di dalam kotak hitam bakal menjadi bukti kukuh bahawa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 ditembak jatuh selain mendedahkan data penerbangan seperti altitud, masa dan laluan digunakan.

Ketua Seksyen Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL-Miat) Prof Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, impak hentakan direkodkan dalam kotak hitam boleh dianalisis serta membuat bacaan skala bagi menentukan punca MH17 terhempas.

Menurutnya, pasukan penyiasat pasti melihat butiran berkenaan di dalam kotak hitam kerana ia merekod segala data dan paling utama bacaan impak hentakan untuk membuktikan pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu permukaan ke udara (SAM).

“Paling utama, pasukan penyiasat perlu menterjemahkan setiap data daripada kotak hitam dan selepas itu baru analisis terperinci dapat dilaksanakan, sekali gus mendedahkan bacaan impak hentakan berkenaan.

“Bagaimanapun, masih ada sedikit kemungkinan bahawa kotak hitam gagal merekod sebarang data itu berikutan kesan letupan daripada SAM yang memutuskan jaluran elektronik di dalam pesawat,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, di sini, semalam.

Mohd Harridon berkata, beliau difahamkan, kedua-dua kotak hitam berkenaan dalam keadaan baik dan masih berfungsi, sekali gus meningkatkan peluang pasukan penyiasat untuk mengetahui punca sebenar MH17 terhempas selain teori ditembak jatuh.

Beliau berkata, biarpun beberapa bukti seperti keadaan rekahan pesawat menunjukkan pesawat itu memang ditembak jatuh, analisis data kotak hitam akan memperkukuhkan lagi dakwaan berkenaan.

Selain itu, menurutnya, kotak hitam itu akan mendedahkan beberapa log penerbangan, antaranya masa sebelum kejadian, altitud, kelajuan dan haluan penerbangan, sekali gus merungkai kononnya pesawat berkenaan tersasar dari laluan sebenar.

Sementara itu, bekas Ketua Juruterbang MAS Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein berkata, maklumat daripada kotak hitam itu penting, terutama rakaman suara kokpit juruterbang yang mungkin ternampak objek menyerang pesawat itu.

“Apabila pihak Malaysia tiba di kawasan pesawat itu terhempas, kita akan dapat mengeluarkan apa-apa sisa yang boleh tertanam dalam permukaan pesawat dan melalui sains forensik, kita mungkin dapat mengenal pasti jenis peluru yang terkena pada pesawat.

“Pihak Russia juga mengeluarkan versi trek radar.

Ini akan disokong dengan data di dalam kotak hitam.

Satu perkara yang kita akan melihat adalah transkrip kawalan trafik udara antara Ukraine dan MH17,” katanya dalam satu program yang ditayangkan di Stesen TV Ukraine 112.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");