Jenayah

Tak tahan hidu bau hancing

bau hancing

KUALA TERENGGANU – Meloyakan! Begitulah gambaran terhadap tahap kebersihan di satu sudut bahagian belakang Pasar Besar Kedai Payang, di sini, apabila ia seolah-olah menjadi port melepaskan hajat kecil.

Pemaju Masyarakat di tempat aktiviti jahitan di pasar tersebut, Umi Kelsom Mustafar berkata, keadaan itu mendatangkan rasa mual apabila dia terpaksa menghidu bau hancing setiap hari hampir dua tahun lalu.

Menurutnya, setiap pagi apabila sampai ke tempat kerjanya yang terletak di bahagian belakang pasar tersebut, air yang berbau hancing boleh dilihat bertakung dari laluan kedai emas bahagian belakang sehingga ke pusat aktiviti jahitan.

“Kalau basuh hari ini, esoknya keadaan berair semula seolah-olah setiap hari ada orang yang datang kencing di sini.

“Saya rasa orang datang buat kerja begini pada waktu malam kerana setiap pagi apabila datang ke sini, kawasan ini selalu basah dan berbau hancing. Kadang-kadang ada juga yang buang najis,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Tandas dikunci

Umi Kelsom berkata, perbuatan tidak bermoral itu tidak kira musim, termasuk sepanjang Ramadan.

Dia tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku kerana tandas awam yang berada berdekatan dengan kawasan tersebut dikunci sehingga menyebabkan kesukaran kepada mereka yang terdesak menggunakan tandas lalu membuang di tempat tidak sepatutnya.

Bagaimanapun apa yang menimbulkan tanda tanya, kawasan tersebut dipenuhi air kencing setiap hari seolah-olah ada pihak sengaja menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat khusus untuk melepaskan hajat.

Malu pada pelancong

Kata Umi Kelsom, kesan air kencing itu juga menyebabkan besi berkarat dan turut membimbangkan ia berdekatan kotak suis.

“Saya pun tidak tahu siapa yang buat begini. Kalau hendak kata ada orang terdesak, takkanlah berlaku setiap hari. Kita sepatutnya rasa malu dengan perbuatan terbabit.
“Malulah dengan pelancong yang terpaksa menghidu bau hancing,” katanya.

Sehubungan itu, Umi Kelsom meminta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memantau kebersihan di Pasar Besar Kedai Payang yang terkenal sebagai ikon Terengganu dan sering kali menerima kunjungan pelancong.

Dalam masa sama, dia turut berharap tandas awam di kawasan itu dibuka semula untuk kemudahan orang ramai.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");