Membawang Hari Ini

Meor Mohd kejar kualiti

meor

Gemar mengubah wajah mengikut karakter yang dibawa menggambarkan betapa pelakon ini amat mementingkan kesempurnaan dalam setiap lakonannya. Ini kerana penampilan diri yang berbeza mengikut kehendak watak membantu seseorang pelakon untuk lebih menghayati lakonan yang dibawa.

Nama Meor Mohd Afif mungkin jarang menjadi sebutan, namun watak yang dibawanya pasti meninggalkan kesan dan ingatan kepada penonton, lebih-lebih lagi menerusi drama bersiri Tanah Kubur. Dalam drama yang disiarkan di Astro Oasis itu, dia membawa watak sebagai Adam.

Selain drama Tanah Kubur, antara drama-drama lain yang turut melonjakkan nama Meor Mohd dalam industri lakonan tanah air adalah Dejavu di Kinabalu, Dahlia dan Kusinero Cinta yang mana dia turut berpeluang bergandingan bersama nama-nama besar seperti Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Jericho Rosales dan ramai lagi.

Sempena hari raya ini juga, sebuah lagi Teleraya terbaru lakonannya akan disiarkan di Astro Oasis. Teleraya bertajuk Syurga Untuk Lelaki itu merupakan arahan Rashid Sibir yang turut dibintangi Namron, Tasha Shila dan Fauziah Nawi yang akan disiarkan pada 30 Julai ini pukul 10 malam.

Menurut pelakon muda ini, dia kini menumpukan 100 peratus perhatian dalam kerjaya lakonan. Namun begitu, apa yang paling diutamakannya adalah kualiti hasil daripada komitmen yang diberikan dan bukannya hanya ingin mengejar populariti semata-mata.

“Saya mahu orang kenal saya dengan nama watak yang dilakonkan. Apabila orang boleh mengenali saya dengan watak yang dibawa, ini bermakna saya telah berjaya melakukan transformasi dalam setiap lakonan, selain membantu meningkatkan lagi kemahiran dan kreativiti yang dimiliki.

“Tambahan lagi, penonton sekarang sudah bijak menilai lakonan dan drama yang berkualiti. Mereka boleh mentafsir sendiri sama ada seseorang pelakon itu betul-betul memberikan komitmen untuk menjayakan watak atau tidak,” jelasnya.

Menjadikan P.Ramlee, Jalil Hamid, Kaza dan Wan Maimunah sebagai idola dalam bidang lakonan. Ini kerana dia menyifatkan pelakon-pelakon tersebut mampu menjadikan lakonan sebagai bukan sekadar lakonan atau dalam erti kata lain berlakon secara semula jadi dan seperti satu realiti.

Utamakan ibu bapa

Mengakui namanya tidak sepopular pelakon-pelakon lain walaupun telah menceburi dunia lakonan selama empat tahun, namun itu tidak bermakna dia perlu berhenti melakukan perkara yang diminatinya.

“Untuk terus bertahan dalam industri, saya berpegang kuat kepada prinsip iaitu mengapa perlu malu melakukan perkara yang kita tidak patut malu dan kenapa tidak malu melakukan perkara yang kita patut malu.

“Selain itu, saya juga meletakkan kedua ibu bapa saya di hadapan terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Saya sentiasa memikirkan untuk melakukan yang terbaik buat mereka. Ini kerana agama menyuruh kita mengutamakan ibu bapa kita dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

“Jadi, nasihat saya kepada para remaja yang bercita-cita untuk menjadi pelakon atau ingin menceburi apa jua bidang, pastikan agama didahulukan dengan menjaga solat.

Tanamkan dalam fikiran bahawa Islam perlu ditegakkan dalam diri terlebih dahulu, kemudian barulah Islam akan tegak dengan sendirinya di sekeliling kita,” kata Meor.

Bercinta selepas nikah

Menurut pelakon berusia 25 tahun ini, Aidilfitri kali ini lebih bermakna dengan kehadiran ahli baru dalam keluarganya. Ini merupakan tahun pertama Meor Mohd menyambut Aidilfitri sebagai suami apabila dia baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya pada 30 Mei lalu.

“Walaupun masa perkenalan bersama isteri agak singkat, tapi saya sangat bersyukur kerana dia merupakan seorang yang matang dan sangat memahami. Oleh kerana itu, saya tidak teragak-agak memilihnya sebagai suri rumah,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai kenangan hari raya yang paling bermakna buatnya, katanya dua tahun lalu dia dapat membelikan kelengkapan hari raya untuk seluruh ahli keluarganya dengan menggunakan hasil titik peluh sendiri.

“Saya akan menghabiskan cuti hari raya pertama bersama keluarga, manakala hari raya kedua dan ketiga pula, saya akan berkonvoi beramai-ramai menziarahi rakan-rakan sekampung,” cerita Meor Mohd lagi yang menjadikan laksa dan rendang tok sebagai menu wajib hari raya. – FATIEHAH/ NOOR AZLINA JAAFAR

-UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");