Isu Panas

Isu MB: Terima Kasih PAS – Khalid

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berterima kasih terhadap kepimpinan tertinggi PAS yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadapnya supaya meneruskan khidmat sebagai Menteri Besar Selangor.

Khalid yang ditolak partinya sendiri turut melahirkan penghargaan berhubung penjelasan kedua-dua pemimpin berkenaan yang tidak bersetuju supaya kedudukannya digantikan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pencerahan yang diberikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz serta Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob.

“Saya memohon maaf kerana isu di Selangor ini secara langsung atau tidak langsung memberi kesan kepada rutin mereka, khususnya di sepuluh hari terakhir Ramadan yang kebiasaannya diisi dengan urusan ibadah, namun terpaksa disulami dengan kemelut politik pula,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikan selepas Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mempersoalkan alasan PKR untuk menggantikan Menteri Besar sedia ada.

Sebelum itu, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan turut menyatakan sokongan Dewan Ulama PAS Pusat yang mahu supaya Abdul Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selaras dengan sokongan yang dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut Abdul Khalid turut memohon maaf kepada rakyat Selangor kerana diheret dengan masalah politik yang dicetuskan PKR.

“Saya juga memohon maaf kepada rakyat Selangor khususnya yang beragama Islam kerana isu yang disensasikan di bulan yang mulia ini sedikit sebanyak telah mengheret mereka untuk turut resah dan keliru atas polemik yang berlaku.

“Saya berjanji sempena akhir Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang, kita akan pastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor diurus dengan sebaik-baiknya sebagaimana mandat yang diberikan rakyat sejak 2008 dan akan meneruskan kecemerlangan Selangor agar pentadbiran di negeri ini memperoleh keberkatan Allah,” katanya.

– mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");