Membawang Hari Ini

Ikatan ukhuwah Rahim, Vanidah, Lisa

JIKA diikutkan, bukan mudah untuk menggandingkan Datuk Rahim Razali Vanidah Imran dan Lisa Surihani – tiga individu popular yang mencipta nama dalam era yang berbeza.

Ketiga-tiganya diketahui mempunyai komitmen masing-masing sehingga sesi fotografi yang diaturkan sempena dengan kedatangan bulan Syawal ini seperti agak mustahil untuk dilakukan.

Terpaksa mengambil masa sehingga dua minggu untuk mengaturkan sesi fotografi berkenaan, akhirnya hasrat untuk menggandingkan mereka bertiga dalam edisi Aidilfitri menjadi realiti.

Menurut Rahim, ini merupakan kali pertama beliau bergandingan Vanidah dan Lisa dalam satu sesi fotografi yang sama. Rahim merasakan bahawa ia sesuatu yang cukup istimewa.

“Tidak seperti tahun-tahun yang sebelumnya, baru kali ini saya tidak terlibat dalam sebarang program televisyen sama ada drama bersiri atau telemovie khas untuk Aidilfitri. Beberapa bulan lalu, keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan sehingga terpaksa menolak tawaran lakonan yang diterima.

“Sepanjang bulan puasa lalu juga saya tidak terlibat dalam sebarang penggambaran dan saya akan kembali berlakon semula selepas sambutan Aidilfitri untuk dua buah drama bersiri,” ujarnya yang kelihatan segak berbaju Melayu rona kuning rekaan Salikin Sidek.

Menceritakan tentang aktiviti yang dilakukan ketika menyambut Aidilfitri, Rahim memberitahu, dia lebih suka berada di rumah bersama dengan anak dan cucu yang datang berkumpul serta menonton TV.

Ujarnya, ketika Aidilfitri sahaja merupakan kesempatan terbaik buat dirinya untuk mengeratkan lagi silaturahim antara anak-anaknya serta melayan kerenah tujuh orang cucunya.

“Pada usia saya yang sudah mencecah 75 tahun sekarang, itu sahaja aktiviti yang dapat dilakukan ketika menyambut Aidilfitri. Bagaimanapun, ia sesuatu yang sangat menyeronokkan dan menjadikan kehidupan saya lebih bahagia,” jelasnya.

Apabila membicarakan tentang program di layar kaca sama ada drama bersiri atau telemovie yang disiarkan ketika Aidilfitri, Rahim berpendapat bahawa pihak stesen TV lebih wajar menyiar- kan program yang memaparkan kegembiraan.

Ujarnya yang juga terkenal sebagai pengulas sukan, pada bulan yang meraikan kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa, orang ramai sepatutnya dihidangkan dengan program yang boleh menceriakan suasana sambutan Aidilfitri itu sendiri.

“Bukan satu kesalahan menyiarkan program yang memaparkan cerita sedih tetapi semasa Aidilfitri biarlah di- siarkan lebih banyak program yang mencetuskan suasana gembira.

“Ini kerana pada masa inilah seluruh ahli keluarga sempat berkumpul beramai-ramai sambil menonton TV,” usul aktor berkaliber ini lagi.

Lisa sambut sebulan

Sudah bergelar isteri kepada Yusry Abdul Halim selama tiga tahun, Lisa Surihani menceritakan, sambutan Aidilfitri yang diraikan kali ini bersama suami tercinta tidak banyak bezanya berbanding sebelumnya.

Menariknya, sudah menjadi kelaziman apabila segala persiapan menyambut Aidilfitri diuruskan oleh dirinya sendiri dan dia beruntung kerana suami tercintanya itu bukan seorang yang jenis cerewet.

“Sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya, saya dan Yusry akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur serta pulang ke kampung halaman suami di Gopeng, Perak. Selain itu, saya akan hadir ke majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh saudara- mara dan rakan-rakan.

“Kalau diikutkan pada bulan Syawal saya bakal terbabit dengan penggambaran filem tetapi ia masih di peringkat perbincangan lagi.

“Cuma, saya harap ia akan ditangguhkan supaya saya dapat meraikan Aidilfitri selama sebulan bersama keluarga tercinta,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang perasaannya setiap kali menjelangnya Aidilfitri, Lisa menyatakan, perkara yang paling membuat hatinya tersentuh apabila mengenangkan arwah ayahnya, Mohamed Mahbob yang meninggal dunia pada tahun 2008.

Menurutnya, arwah ayahnya dahulu merupakan individu yang paling teruja dan bersemangat untuk menyambut Aidilfitri dan akan membawa mereka sekeluarga pergi berhari raya.

“Pada tahun pertama meraikan Syawal tanpa arwah ayah, ia merupakan detik yang paling sukar untuk dilupakan. Apabila menikmati pulut kuning dan rendang ayam, pasti saya akan teringat arwah ayah kerana itu makanan kegemarannya,” luahnya.

Vee didik anak

Berbeza dengan kebanyakan ahli keluarga yang akan sibuk membeli-belah bersama anak-anak membeli persiapan Aidilfitri, berbeza pula dengan cara yang dilakukan oleh pelakon Vanidah Imran.

Menurut isteri kepada pelakon Rashidi Ishak itu, sejak kedua-dua anaknya, Mikail, 13, dan Maryam, 10, kecil lagi, dia sudah mendidik mereka supaya tidak meminta dibelikan baju baharu setiap kali tibanya Aidilfitri.

“Saya bukannya mahu bersifat kedekut terhadap anak-anak tetapi selagi ada pakaian yang masih elok dan cantik, apa salahnya ia terus dipakai dan tidak perlulah hendak membeli baju baharu.

“Apa yang cuba saya terapkan ini agar anak-anak saya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah diperoleh. Saya selalu pesan kepada anak-anak supaya sedar ada lagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik,” jelasnya yang turut tidak gemar mengamalkan sikap membazir.

Bercerita tentang perkembangan karier seninya pula, pelakon yang lebih mesra disapa Vee itu mengakui agak jarang tampil di kaca TV kerana dia kini lebih memberi perhatian terhadap pelajarannya.

Ujarnya, ketika ini dia sedang menuntut di Open University Malaysia (OUM), Kuala Lumpur dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dan itu antara salah satu punca dia sudah jarang berlakon.

“Kalau semuanya berjalan dengan lancar dan tidak berhadapan dengan sebarang masalah, mungkin tahun ini saya akan tamat belajar. Jadi, berkemungkinan pada tahun hadapan saya mahu kembali aktif berlakon semula,” jelasnya.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");